KUALA NERUS - Meskipun turut terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun Koperasi Homestay Teluk Ketapang (HTK) Trg Bhd tetap menghulurkan bantuan kepada 250 keluarga yang terjejas sepanjang tempoh PKP di negeri ini.
Bendaharinya, Md. Azmi A.Aziz berkata, walaupun pendapatan koperasi mereka terjejas tetapi keadaan itu bukan menjadi alasan buat ahlinya untuk 'berpeluk tubuh' melihat sahaja golongan tidak berkemampuan terutama penduduk di tujuh kampung di kawasan pentadbiran mereka.
Menurutnya, usaha itu juga sejajar dengan slogan koperasi, 'koperasi prihatin masyarakat' dan pihaknya sentiasa memikirkan alternatif bagi mencari sumber kewangan selain bergantung daripada penyumbang tetap yang sedia ada sebelum ini.
"Alhamdulillah, sejak PKP 1.0, hasilnya seramai 250 keluarga golongan asnaf, orang kelainan upaya (OKU) dan keluarga kehilangan punca pendapatan akibat Covid-19 ini berjaya dibantu.
"Hasil daripada program tanggungjawab sosial (CSR) dengan kerjasama Persatuan Homestay Teluk Ketapang ini, kami menyedari sebenarnya bantuan kewangan dan keperluan asas harian bukan semata-mata diperlukan golongan ini, tetapi keperluan asas anak-anak kecil termasuk lampin pakai buang dan susu tepung juga perlu diutamakan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau yang juga pengerusi Persatuan Homestay Teluk Ketapang berkata, pada peringkat awal, pihaknya menyediakan bantuan barang keperluan dapur dan penerima yang layak boleh datang sendiri memilih barang dapur diperlukan di beberapa kedai runcit yang dilantik dengan menghadkan peruntukan antara RM130 hingga RM150 mengikut saiz keluarga.
"Tetapi selepas didapati mereka berpeluang mengambil barang dapur kering sahaja, kami terfikir macam mana mereka nak masak, maka program bantuan kaedah kedua iaitu 'Fish Bank' diperkenalkan. Penerima yang layak boleh menikmati makanan basah yang segar termasuk ikan; ayam dan sayur serta banyak lagi di Pasar Teluk Ketapang dengan kadar dihadkan RM35 bagi sebuah keluarga," katanya.
Md.Azmi yang turut memegang jawatan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Teluk Ketapang berkata, selain menyediakan program berbentuk bantuan, pihaknya juga menganjurkan program 'Sistem Makan Nasi Istimewa'.
"Menerusi program ini, kami menyediakan menu-menu makan tengahari yang diperuntukan sebanyak RM10 setiap individu bertujuan memberi peluang kepada penerima untuk menikmati makanan yang enak," jelasnya.