SHAH ALAM - Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang dijadualkan berlangsung pada malam Sabtu ditangguhkan.
Memetik laporan UMNO Online, perkara itu disahkan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan.
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan isu 'No PN 2.0’ dijangka menjadi agenda yang akan dibincangkan dalam mesyuarat MKT UMNO di Menara Dato’ Onn, Kuala Lumpur jam 8.30 malam Sabtu.
Difahamkan, mesyuarat itu turut akan membincangkan tentang beberapa perkara seperti sokongan bersyarat Perikatan Nasional (PN), calon Timbalan Perdana Menteri dan pembentukan kabinet baharu.
Menurut sumber, mesyuarat tersebut akan memberikan pandangan dan panduan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Perdana Menteri baharu.
"Paling penting ialah ‘No PN 2.0’ kerana Ismail Sabri perlu memberi satu imej kerajaan baharu yang lebih segar dan bersih bukannya imej kerajaan PN.
"Kalau sekiranya muka-muka kabinet itu macam Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Datuk Seri Hamzah Zainudin, tidak ada banyak beza.
"Orang akan melihat seolah-olah orang yang sama dikategorikan sebagai kerajaan gagal itu masih ada di situ. Sebab itu, dia (Ismail Sabri) kena buang imej PN itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Tegasnya, Ismail Sabri juga perlu mengetepikan mereka yang tidak mencapai kualiti atau tidak 'perform' ketika dalam pentadbiran PN.
"Tidak boleh resipi lama. Kalau resipi lama orang tetap tidak akan percaya. Kena ketepikan orang-orang yang tidak 'perform' dan banyak berpolitik,” jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:MKT UMNO bincang sokongan bersyarat PN malam Sabtu