KUALA LUMPUR - Jumlah penumpang di dalam kenderaan bagi mereka yang telah lengkap dua dos vaksin kini dibenarkan mengikut kapasiti tempat duduk kenderaan di negeri-negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Kebenaran yang berkuat kuasa mulai semalam itu dikongsi Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui aplikasi Telegram hari ini mengenai ‘PPN - prosedur operasi standard (SOP) Fasa 1’.
Iklan
Iklan
Pergerakan rentas daerah dan negeri bagaimanapun masih tidak dibenarkan kecuali bagi pasangan jarak jauh, melawat anak bawah 18 tahun dan individu yang diluluskan pergerakan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) serta polis.
Bagi mereka yang belum mendapat dos vaksin lengkap, SOP yang dikenakan tidak berubah iaitu hanya dua wakil isi rumah dibenar keluar untuk mendapatkan keperluan asas dan maksimum tiga orang termasuk pesakit dibenar untuk mendapatkan perkhidmatan jagaan kesihatan, perubatan, ujian saringan, program vaksinasi, keselamatan atau kecemasan.
Menurut MKN, bilangan penumpang dalam teksi dan kenderaan e-hailing dihadkan kepada dua orang termasuk pemandu, dan penumpang harus duduk di bahagian belakang.
Bagi kenderaan yang membawa barangan serta rantaian aktiviti ekonomi atau industri (kecuali pengangkutan pekerja), kapasitinya bergantung kepada lesen pendaftaran kenderaan dan bagi kenderaan jabatan atau kereta rasmi jabatan, bilangan orang yang dibenarkan adalah berdasarkan kapasiti kenderaan. - Bernama
Artikel Berkaitan