GUAR CHEMPEDAK - Pemuda Perikatan Nasional (PN) berharap agar kerajaan pimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat meneruskan legasi kepimpinan terdahulu.
Ketua Pemuda PN, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, antaranya melibatkan program libat urus bersama rakan pemimpin termasuk parti pembangkang seperti yang dicetuskan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, pendekatan itu bertujuan memastikan negara dapat mencapai kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi sekali gus memberi ketenangan kepada rakyat.
"Alhamdulillah, ALLAH SWT masih lagi beri peluang PN terajui kerajaan Malaysia dan saya pasti fokus yang akan diteruskan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk meneruskan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang telahpun rancak dilaksanakan mengikut fasanya dan kesinambungan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bahawa kita antara yang terpantas di dunia," katanya.
Beliau ditemui ketika memantau pergerakan bantuan kepada mangsa bencana fenomena kepala air di Dewan Serbaguna Masjid Al-Wustho Guar Chempedak pada Sabtu.
Katanya, dengan komitmen berterusan diharapkan imuniti kelompok rakyat negara ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan.
"Kita harap imuniti kelompok ini dapat dicapai kerana nyawa rakyat perlu diutamakan berbanding kepentingan politik masing-masing,"katanya.
Khairil Nizam yang juga Ketua Pemuda Pas yakin setiap parti dalam gabungan PN akan diberi peluang membarisi kepimpinan kabinet baharu bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia kesembilan itu.
"Saya yakin semuanya ada dalam perancangan beliau dan ia akan dilakukan secara musyawarah," katanya.
Beliau pada masa sama turut menyerahkan 200 bakul makanan kepada Pusat Operasi Banjir Jerai di Dewan Serbaguna Masjid Al-Wustho dalam usaha meringankan beban mangsa terjejas.
Sumbangan RM10,000 juga kata beliau telah diserahkan bagi tujuan penyediaan barangan keperluan lain termasuklah dapur gas, tong gas, periuk nasi elektrik, pinggan mangkuk, tilam, bantal dan cadar.