PELUANG Perak untuk kekal di dalam Liga Super semakin sukar apabila gagal memperoleh sebarang mata apabila tewas 0-3 kepada Selangor FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.
Bermain dengan jersey ketiga edisi khas 100 tahun, Perak FC memulakan permainan pada minit awal dengan berhati-berhati begitu juga dengan pasukan pelawat yang tidak begitu memberi tekanan kepada pertahanan Perak.
Memasuki minit ke-6, layangan kad kuning pertama perlawanan dikenakan ke atas pemain Selangor FC, R Dinesh oleh pengadil, Ahmad Zuhaidi Dzulkifi.
Dalam tempoh 15 minit pada babak pertama, Selangor FC dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.
Percubaan terbaik ke arah pintu gol buat Selangor FC hanya tiba pada minit ke-18 menerusi percubaan Htet Aung namun tersasar ke sebelah kiri pintu gol Perak FC.
Masuk minit ke-30, Perak FC memiliki beberapa peluang menerusi pemain muda mereka, Muhammad Adib Ra'of yang mengucar-kacirkan pertahanan lawan.
Gawang Perak FC nyaris bolos disebabkan kesilapan penjagal gol mereka, Muhammad Azri Ab Ghani terlepas bola dari tangkapan namun kesempatan itu gagal dimanfaatkan penyerang lawan menjaringkan gol.
Selangor FC kemudiannya membuat pertukaran pertama apabila mengeluarkan R Dinesh yang dilayangkan kad kuning pada awal perlawanan dengan diganti pemain import, Muhammad Safuwan Baharuddin.
Tidak sampai seminit pertukaran tersebut, Selangor FC berada di depan apabila rembatan Oliver Buff menerjah jaring sekaligus mendahului 1-0.
Ketika perlawanan babak pertama hampir tamat, Selangor FC terus menambah derita Perakk FC dengan jaringan kedua menerusi tandukan penyerang sensasi mereka, Ifedayo Olusegun.
Tamat separuh masa pertama menyaksikan Perak FC ketinggalan 0-2 dengan Selangor FC di tempat sendiri.
Bersambung babak kedua, Selangor FC membuat pertukaran pemain kedua dengan membawa masuk Mukhairi Ajmal menggantikan Danial Asri.
Pasukan pelawat terus garang mengekalkan momentum pada separuh masa pertama dengan menguasai perlawanan melalui beberapa perancangan ke arah kubu lawan.
Kad kuning kedua perlawanan dilayangkan kepada pertahanan Selangor FC, Sharul Nazeem Zulpakar apabila dikesan menarik penyerang tuan rumah, Sergio Aguero.
Minit ke-56, Perak FC memiliki peluang menerusi sepakan percuma yang diambil Sergio Aguero yang muntah dari dakapan penjaga gawang lawan, Mohd Khairulazhan Mohd Khalid namun berjaya diselamatkan.
Pasukan tuan rumah terus dihukum dan kali ini menerusi sepakan penalti yang diperoleh Selangor FC selepas Oliver Buff dikasari di dalam kotak penalti.
Peluang tersebut tidak disia-siakan oleh Ifedayo yang menyempurnakan gol peribadi keduanya malam ini sekaligus meletakkan Selangor 3-0 di hadapan.
Keputusan tersebut kekal sehingga wisel penamat dan Perak FC selaku tuan rumah terus buntu mencipta kemenangan di Stadium Perak.
Perak FC yang terperosok di bawah liga kini berdepan tekanan besar untuk kekal di dalam saingan Liga Super dengan perlu berdepan tiga lagi pasukan sebelum tamat musim ini.
Sementara itu Selangor FC terus menjadi pasukan digeruni dengan kemenangan empat perlawanan berturut-turut seterusnya mengukuhkan kedudukan di dalam liga.