Sindiket edar dadah di Lembah Kelang tumpas

Iklan
Antara dadah yang dirampas dalam serbuan dijalankan.

KUALA LUMPUR - Sindiket pengedaran dadah yang aktif di sekitar Lembah Kelang berjaya ditumpaskan dengan tertangkapnya empat individu dalam operasi oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komissioner Sahar Abdul Latif berkata, kesemua suspek yang ditahan berusia dalam lingkungan 34 hingga 49 tahun.

Iklan
Iklan

"Polis telah melancarkan beberapa serbuan dan pemeriksaan yang berbeza iaitu di Taman City, Sentul, Taman Mastiara, Jinjang dan Jalan Klang Lama, Brickfields serta Taman Wangsa Permai, Selangor.

"Serbuan pertama di hadapan sebuah restoran di Taman City, Sentul menahan seorang suspek dan merampas dadah jenis Methamphetamine seberat tiga gram di dalam bag yang disandangnya," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Katanya, hasil soal siasat membawa kepada penahanan suspek kedua di Jalan KIP 1, Taman Perindustrian, Taman Wangsa Permai, Selangor.

"Susulan itu, polis menahan sebuah kereta jenis Perodua Alza di tempat letak kereta di hadapan sebuah restoran di Jalan KIP 1, Taman Perindustrian KIP, Taman Wangsa Permai, Selangor dan berjaya menahan suspek ketiga serta merampas dadah jenis Heroin seberat 2,720 gram.

Iklan

"Suspek keeempat kemudiannya berjaya ditahan di sebuah premis di Taman Danau Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan berjaya membuat rampasan dadah jenis methamphetamine seberat 2,010 gram di sebuah premis di Taman Danau Desa, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur," katanya.

Menurutnya, siasatan awal, polis mendapati premis yang disewa selama tiga bulan oleh salah seorang suspek dengan anggaran bayaran sewa RM900 sebulan dijadikan tempat penyimpanan dadah.

"Antara dadah yang dirampas adalah Methamphetamine seberat 2.01 kilogram bernilai RM 72,300 dan heroin seberat 2.72 kilogram bernilai RM 35,360.

"Turut dirampas sebuah buah kenderaan jenis Isuzu D-Max dan sebuah Proton Persona," katanya.

Tambahnya, hasil saringan mendapati seorang suspek positif dadah methamphetamine.

"Hasil semakan juga mendapati tiga suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.