SHAH ALAM - Peguam, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar memaklumkan anak guamnya, Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman tiada masalah untuk memberi kerjasama kepada pihak polis berhubung kenyataan terhadap pendakwah terkenal Ebit Lew.
Zainul Rijal berkata, Muhammad Nadir memang ada dihubungi oleh pegawai polis dan mereka berkomunikasi macam biasa.
"Cuma baru ini saja ada laporan media daripada Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah kata minta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol).
"Sedangkan semua orang tahu Nadir berada di Gaza. Petang semalam (Sabtu) juga Superintendan Ashari sudah menghubungi Muhammad Nadir melalui WhatsApp dan dia pun menyatakan tiada masalah untuk memberi kerjasama.
"Bagaimana keterangan diambil dan sebagainya itu nanti mungkin kami akan berbincang dengan polis,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Pada Jumaat, pihak polis memohon bantuan Interpol bagi mengesan penyanyi rap Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice dan Muhammad Nadir.
Kedua-dua individu tersebut dikesan untuk memberikan keterangan berhubung laporan yang dibuat pendakwah terkenal, Ebit Lew di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada 21 Julai lalu.
Bagaimanapun, Zainul Rijal berkata, Muhammad Nadir menghadapi kesukaran untuk keluar dan masuk dari Gaza buat masa ini.
Tambahnya, Muhammad Nadir juga sedang melanjutkan pengajian di Gaza dan melaksanakan pelbagai aktiviti masyarakat sivil membantu warga Gaza di sana khususnya bantuan yang disalurkan oleh rakyat Malaysia.
"Ia bukan macam sempadan negara yang biasa. Dia ada risiko kalau keluar dari Gaza, dia tidak boleh masuk balik.
"Jadi itu beberapa pertimbangan yang kami sedang uruskan dengan pihak polis kalau mereka menghubungi saya,” ujarnya.