KUANTAN - Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Dapur Infaq Ummah Kuantan menganjurkan program jualan amal dengan menawarkan ikan selayang atau kembung dengan harga 20 sen seekor.
Program yang diadakan bagi membantu golongan terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 itu mengehadkan pembelian sebanyak 30 ekor sahaja untuk setiap keluarga.
Pengasas Dapur Infaq Ummah Kuantan, Badrul Jamili Kamaruddin berkata, pada program itu pihaknya menyediakan 150 kilogram (kg) ikan.
Menurutnya, setiap keluarga boleh membeli ikan antara 25 hingga 30 ekor ikan selayang atau kembung pada harga RM5.
"Harga ini amat murah jika dibandingkan dengan harga pasaran sekitar RM8 hingga RM12," katanya ketika ditemui ditemui pada program itu di Indera Mahkota pada Ahad.
Beliau berkata, sambutan terhadap jualan amal itu begitu menggalakkan dan kesemua ikan habis dijual dalam masa beberapa jam sahaja.
Tambahnya, sebelum ini pihaknya pernah menjual ayam segar pada harga RM5 seekor untuk setiap keluarga.
"Kalau kita lihat kebanyakan yang datang pada hari ini semua daripada penerima bakul makanan Dapur Infaq Ummah Kuantan.
"Jadi matlamat kita adalah membantu meringankan beban golongan memerlukan itu tercapai apabila lebih 100 keluarga mendapat manfaat daripada program jualan ini," katanya.
Badrul Jamili berkata, bekalan ikan diperoleh daripada pemborong di Pasar Borong Kuantan dengan harga berpatutan.
"Kita tidak penting keuntungan, sebaliknya mahu memastikan golongan memerlukan tidak kelaparan," katanya.
Sementara itu, pembeli, Syahrul Hazwan Irdin, 45, berkata, aktiviti jualan amal sebegini banyak membantu golongan terkesan seperti dirinya.
"Terima kasih kepada NGO Dapur Infaq Ummah kerana membantu kami yang terjejas dari segi pendapatan mendapatkan bekalan barangan basah pada harga murah.
"Saya harap program sebegini dapat diteruskan sepanjang PKP," katanya.