PENYERANG Johor Darul Ta'zim (JDT) Syafiq Ahmad tampil memohon maaf selepas membuat luahan secara terbuka di laman twitter mengenai rasa tidak puas hatinya kurang diberikan minit bermain bersama skuad Harimau Selatan itu.
Menurut Syafiq, dia mengakui tidak sepatutnya berbuat demikian dan tindakannya itu dipengaruhi emosi selepas hanya kerap memanaskan bangku simpanan sahaja.
"Saya dengan rendah diri memohon maaf atas tweet yang mengikut perasaan saya semalam kepada rakan sepasukan, kelab dan terutamanya sekali Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail) yang banyak membantu saya selama ini di dalam dan di luar padang.
"Saya mengakui saya tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi dan seharusnya fikir di mana kesilapan saya selama ini," tulis Syafiq di laman story Instagramnya.
Sebelum itu, Syafiq menulis di laman twitter 'seronok tengok kawan-kawan main bola' dipercayai sebagai meluahkan perasaanya yang jarang diturunkan bersama skuad Harimau Selatan itu.
Tindakan Syafiq itu mengundang berang Tunku Ismail yang menegaskan Syafiq seharusnya datang berjumpa dan berbincang jika tidak berpuas hati dan bukannya menyatakan kekecewaan di laman sosial.
" Ini kelab bola sepak. Bukan kelab kebajikan sosial. Siapa yang berlatih dengan bagus dan bekerja keras, dia akan bermain. Siapa yang tidak, dia tak akan bermain. Tak suka? Pintu adalah terbuka. Ini bukan penjara. 'Simple'.
"Anda sudah sedia maklum mengenai syarat-syarat dan polisi kelab ketika menandatangani JDT. Anda kerap bermain tahun lepas dan tahun sebelum itu tetapi selepas peristiwa pahit, anda sudah berbeza. Kami beri masa, sokongan dan perhatian. Jikalau tidak berpuas hati atau setuju, datang berjumpa. Berkomunikasi, bukan tweet.
"Dalam JDT, siapa yang bekerja keras dalam sesi latihan dan beri persembahan terbaik akan diturunkan. Siapa yang nak cabaran dalam karier dan memenangi kejuaraan, ayuh datang ke JDT. Siapa nak minit permainan, pergi sertai kelab lain. Tidak ada orang yang paksa. Semua pilihan atas tangan pemain sendiri," kata Tunku Ismail.