ISKANDAR PUTERI - Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim akan berjumpa dengan Pengarah Pelajaran Negeri Johor dan guru-guru yang dilaporkan menolak vaksin di negeri ini.
Menerusi ciapan di Twitter baginda, pertemuan itu akan dilakukan dalam masa terdekat.
"Saya akan berjumpa dengan Pengarah Pendidikan Negeri Johor dan guru-guru tersebut dalam masa terdekat.
"Keutamaan kami adalah untuk mengatasi pandemik ini supaya rakyat, negeri boleh kembali dan meneruskan kehidupan seperti biasa," titah baginda dalam ciapan berkenaan.
Tunku Mahkota Johor membuat ciapan berkenaan apabila seorang netizen berkongsi laporan berita berkenaan 779 guru di Johor menolak vaksin Covid-19.
Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) akan membantu memberi penerangan mengenai kebaikan vaksin kepada 779 guru terbabit.
Menerusi jawapan yang dikemukakan pada sesi soalan lisan bagi Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 pada Ahad, Mazlan menjelaskan seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di Johor sudah menerima dos pertama.
Manakala berdasarkan statistik, seramai 23,746 guru sudah lengkap kedua-dua dos berkenaan sehingga Khamis lalu.