UPKO kemuka usul penubuhan Majlis Persekutuan-Negeri

Iklan
Madius ketika sidang akhbar secara maya berhubung usul penubuhan Majlis Persekutuan-Negeri.

KOTA KINABALU - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengemukakan usul penubuhan Majlis Persekutuan-Negeri dalam usaha memulihkan ekonomi dan kesihatan rakyat di bawah kepimpinan baharu kerajaan Persekutuan.

Presiden UPKO, Datuk Seri Madius Tangau berkata, usul itu dihantar kepada Setiausaha Sidang Dewan Rakyat pada 19 Ogos lalu untuk dibahaskan pada persidangan Parlimen bulan depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usul itu dibuat dengan mengambil kira penderitaan rakyat yang kehilangan insan tersayang akibat Covid-19, hilang sumber pendapatan serta kesukaran meneruskan pembelajaran dan pengajaran.

"Ia juga sebagai usaha ke arah menyelesaikan pelbagai masalah dan kecelaruan dalam pembuatan serta pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang membabitkan kerajaan Persekutuan dan negeri," katanya dalam sidang akhbar yang dilakukan secara maya pada Ahad.

Iklan

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Tuaran itu berkata, dalam usul berkenaan dicadangkan agar Dewan Rakyat hendaklah bersetuju untuk menubuhkan Majlis Persekutuan-Negeri bagi pemulihan kesihatan rakyat.

Katanya, antara terma untuk melaksanakan usul itu jika diterima oleh Dewan Rakyat ialah majlis berkenaan hendaklah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, manakala Ketua Pembangkang sebagai timbalan pengerusi.

Iklan

"Selain itu, hendaklah dianggotai tiga kumpulan iaitu yang pertama terdiri daripada menteri termasuk Menteri Pertahanan; Menteri Kesihatan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri; Menteri Dalam Negeri; Menteri Pelancongan; Menteri Pendidikan dan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak.

"Kedua, ahli Parlimen pembangkang yang menggambarkan kepelbagaian parti dan dalam jumlah yang sama, manakala ketiga, semua ketua menteri dan menteri besar dari 13 negeri," katanya.

Beliau juga mencadangkan agar majlis itu menerima input profesional dan kepakaran daripada sektor ekonomi, perubatan dan pendidikan bersama-sama pucuk pimpinan perkhidmatan awam, tentera dan polis.

"Majlis ini juga perlu bermesyuarat setiap minggu sebelum mesyuarat kabinet untuk menerima laporan dan mengambil tindakan atas perkara seperti pengangguran dan penutupan perniagaan, jangkitan, kemasukan hospital dan kematian akibat Covid-19," katanya.