Kerajaan pastikan tiada rakyat tercicir, fokus atasi masalah ekonomi

Iklan
Kerajaan menetapkan dua objektif utama bagi mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Kerajaan menetapkan dua objektif utama bagi mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan.

Objektif itu adalah mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna dan mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Iklan
Iklan

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu fokus usaha kerajaan ketika ini adalah kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan dan mata pencarian, rakyat yang berpendapatan sederhana, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta sektor perindustrian termasuk industri pelancongan domestik.

Menurutnya, fokus tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif jangka pendek untuk mengembalikan ekonomi rakyat khususnya dan menjana ekonomi negara secara menyeluruh.

Iklan

"Saya juga akan memastikan tiada mana-mana rakyat Malaysia tanpa mengira agama, bangsa, dan kaum yang tercicir atau terpinggir.

"Usaha kita tidak akan terhenti setakat ini. Kita akan terus bekerjasama untuk membangunkan strategi baharu ekonomi bagi melaksanakan beberapa perubahan mendasar.

Iklan

"Seluruhnya bertujuan memperkukuh asas ekonomi negara dan mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau Asia Tenggara," katanya sempena Ucapan Khas Perdana Menteri pada Ahad.

Ismail Sabri berkata, seiring usaha mencapai objektif dan fokus tersebut, turut diperlukan adalah penglibatan anak muda.

Justeru katanya, beliau akan memastikan suara anak muda didengari dan diberikan tumpuan dalam kerajaan.

"Kepada anak muda di luar sana, jangan risau, penglibatan anda semua amat dihargai dan saya mengharapkan anda bersama dengan kerajaan ini untuk menjayakan agenda besar pemulihan negara," katanya.