Tragedi kepala air: Bersatu Alor Setar agih bantuan makanan

Iklan
Dzowahir (tiga dari kiri) mengiringi Mohd Redzuan (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Permatang Keramat, Yan yang terjejas dalam kejadian kepala air pada Rabu lalu.

YAN - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Alor Setar menghantar dua kumpulan bagi mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas dalam tragedi kepala air di Gunung Jerai, dekat sini.

Ketua Bahagian Bersatu Alor Setar, Dzowahir Abdul Ghani berkata, kira-kira 40 ahli Bersatu dan Armada Alor Setar turun ke kawasan yang terjejas pada Sabtu dan Ahad untuk mengagihkan bantuan makanan dan meninjau keadaan rumah-rumah sebelum merencanakan bantuan gotong-royong seterusnya.

Iklan
Iklan

Menurut Dzowahir, pihaknya juga mengarahkan Armada Bersatu Alor Setar membantu Armada negeri Kedah untuk melaksanakan gotong-royong di kawasan sekitar dan membantu penduduk setempat membersihkan kediaman mereka.

"Tinjauan saya di sana pada Sabtu mendapati banyak kediaman yang terjejas dan diliputi lumpur yang tebal. Kita di Bersatu Alor Setar mungkin akan melanjutkan tempoh masa misi ini agar dapat benar-benar membantu penduduk yang terjejas,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Iklan

Dzowahir sebelum itu mengiringi Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof pada lawatan prihatin pasca-bencana serta pemberian sumbangan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di Kampung Permatang Keramat, Yan, dekat sini.

Mengulas lanjut, katanya, kumpulan seterusnya akan tiba pada Isnin dengan membawa jentera dan juga peralatan pembersihan untuk membersihkan rumah-rumah yang dikenal pasti pada Ahad.

Iklan

"Bantuan sukarelawan untuk pembersihan ini akan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh pihak berkuasa kerana kita tahu risiko pandemik Covid-19 masih lagi pada tahap yang tinggi," ujarnya.

Tambah Dzowahir, bagi keperluan bantuan makanan seterusnya pula, pihaknya akan menyerahkan terus kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana daerah Yan bagi mengurangkan penularan pandemik tersebut di kawasan bencana.