TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menafikan beliau dilantik menganggotai kabinet Perdana Menteri kesembilan sebagaimana yang tular sejak beberapa hari lalu.
Noh berkata, sebarang pelantikan jawatan kabinet hanya diketahui melalui pengumuman rasmi Perdana Menteri.
"Sepanjang pengalaman saya sebagai ahli Parlimen, lantikan saya ke dalam kabinet kerajaan tidak pernah dimaklumkan, sebaliknya hanya mengetahuinya semasa mendengar pengumuman di televisyen atau melalui radio.
"Misalnya apabila saya dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, saya dengar pelantikan itu melalui radio semasa sedang memandu kereta," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang di sini pada Ahad.
Ditanya sama ada bersedia sekiranya dilantik dalam kabinet baharu pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Noh berkata, beliau bersedia bekerjasama sekiranya khidmatnya diperlukan kerajaan.
"Kita kena bekerjasama dengan kerajaan dan kalau diberikan amanah (menjawat jawatan dalam kabinet) kena laksanakan.
"Setakat ini, amanah saya di Tanjong Karang dan cuba buat yang terbaik kerana kita banyak idea bagaimana hendak membantu rakyat di sini," katanya.
Sebelum ini tular nama Noh menganggotai kabinet baharu pimpinan Ismail Sabri dengan menjawat jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Selain Noh, beberapa nama turut disenaraikan dalam lantikan kabinet yang tular di laman sosial Facebook itu.