SHAH ALAM - Muafakat Nasional (MN) Selangor menggesa agar segala tindakan perebutan kuasa politik dihentikan segera bagi memberi fokus untuk memulihkan negara.
Menerusi satu kenyataan bersama, Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, seruan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi ucapan sulungnya pada petang Ahad yang menyeru semua pihak untuk mencari titik persamaan membuktikan beliau amat yakin bahawa penyatuan dan perpaduan merupakan aspek penting dalam membina sebuah negara stabil.
Menurutnya, ucapan yang disampaikan oleh Ismail Sabri itu juga cukup padat dan mencerminkan sebuah kepimpinan yang prihatin dalam membela nasib rakyat khususnya sewaktu pandemik Covid-19 ini.
"Bagi MN Selangor, komitmen untuk memperkasakan pelan menghadapi Covid-19 dengan lebih komprehensif sebagaimana ditekankan oleh Perdana Menteri adalah sangat tepat dan amat disambut baik," kata kenyataan itu pada Ahad.
Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kesembilan di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Sabtu.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia sebagai Perdana Menteri itu berlangsung di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara pada jam 2.30 petang.
Dalam pada itu, menurut kenyataan berkenaan, MN Selangor juga komited untuk menjayakan hasrat yang digariskan oleh Ismail Sabri dan menyeru seluruh rakyat agar dapat menyokong usaha berkenaan.
"Iltizam Perdana Menteri untuk memperkukuhkan asas ekonomi negara di samping mengembalikan daya saing Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama di rantau ini amat disambut baik," katanya.