SHAH ALAM -"Fokus saya pada masa ini adalah untuk bersama keluarga,” itu reaksi bekas Menteri Kewangan Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, ketika ditanya pemberita sama ada beliau sedia berkhidmat sekiranya dipanggil kembali oleh kerajaan pusat.
Tengku Zafrul berkata, beliau ingin meluangkan masa bersama keluarga kerana mereka telah memberi sokongan dan cukup memahaminya, terutamanya ketika dia bekerja dalam bidang korporat dan juga semasa saya sebagai Menteri Kewangan.
"Kini saya ada masa untuk mereka...fokus saya pada masa ini untuk bersama, abiskan lebih masa dengan keluarga dan kawan-kawan saya,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Sumbangan kepada Yayasan Raja Muda Selangor (YRMS) di Pusat Latihan Selangor FC, pada Ahad.
Turut berkenan berangkat dan menerima sumbangan pada majlis tersebut ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.
Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, apa sahaja perancangan yang akan dilaksanakan Perdana Menteri. Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selepas ini seharusnya disokong, kerana beliau percaya Perdana Menteri pastinya akan menolong rakyat dalam mengharungi cabaran Covid-19.
"Saya percaya perdana menteri akan membentuk kabinet yang akan dapat membantu rakyat kita untuk mengharungi cabaran Covid-19.
"Saya percaya apa sahaja yang perdana menteri baharu kita akan lakukan, adalah sesuatu yang perlu kita sokong dan kita patut beri sokongan supaya kita sebagai rakyat Malaysia dapat berganding bahu, bekerja bersama-sama memerangi Covid-19,” katanya.
Sebanyak 1,000 bakul makanan sumbangan Tengku Zafrul bernilai RM80,000 sebelum itu diserahkan kepada YRMS dan ia akan diagihkan antaranya kepada Selangor Youth Community (SAY); Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Persatuan Bolasepak Selangor dan Selangor FC. - Bernama