YAN - Gerak hati ahli keluarga mengatakan mangsa kelima tertimbus dalam timbunan kayu di lokasi penemuan terjawab apabila bekas imam itu ditemukan kira-kira jam 3.23 petang Ahad.
Anak keenam daripada lapan beradik, Ku Ahmad Kusaini Ku Shuib, 59, berkata, hatinya kuat mengatakan bapanya, Ku Shuib Ku Abdullah, 91, yang hanyut dalam tragedi kepala air pada Rabu lalu ada berdekatan timbunan berkenaan melihatkan kepada kenderaan, katil dan tilam milik ahli keluarga di lokasi sama.
Menurutnya, ibunya, Kalsom Abdullah, 85, juga ada menyatakan keinginan untuk ke lokasi sama kerana gerak hati yang kuat mengatakan kemungkinan bapa ada di situ.
"Pagi tadi mak cakap nak pergi tempat kejadian, ayah tunggu dia kat sana, saya sendiri pun sudah pergi cari di tempat sama kelmarin, tetapi tak jumpa," katanya ketika ditemui di Hospital Yan petang Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: Tragedi kepala air: Mayat kelima ditemui bawah timbunan kayu
Katanya, seluruh ahli keluarga memanjatkan kesyukuran dan lega setelah jasad arwah ayahnya ditemui pada hari kelima pencarian.
"Hanya tuhan yang tahu bila sudah jumpa. Kami semua reda, cuma berdoa agar jumpa, bila dah jumpa Alhamdulillah... ada kubur arwah," jelasnya.
Ku Ahmad Kusaini yang menetap di Selayang, Selangor berkata, dia hanya mengetahui kejadian melalui laman sosial Facebook dan tidak menyangka bencana kali ini adalah yang terburuk pernah berlaku.
Menceritakan pertemuan terakhir di rumah adiknya di Shah Alam sebelum Ramadan lalu, bapanya yang patah sebelah kaki sudah tidak mengenali dirinya kerana masalah ingatan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon ketika ditemui di lokasi pencarian berkata, mangsa ditemui di bawah timbunan kayu berdekatan Chalet Puteri Ayu kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi dia dilaporkan hanyut.
Menurutnya, mangsa yang berkhidmat lebih 10 tahun sebagai bekas imam Masjid Jamek Badlishah itu hanya mengalami calar dan luka kecil selain masih dalam keadaan baik dan kedudukan mengiring menghadap kiblat.