SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beberapa pelan dan perancangan bagi menangani pandemik Covid-19 akan dibahas pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-14 yang akan bermula Isnin hingga 6 September depan.
Beliau berkata, pelan dan perancangan itu antara pengisian sesi perbahasan sidang DUN kali ini selain membahaskan titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas Majlis Istiadat Pembukaan DUN Selangor yang akan berlangsung pada Isnin.
"Kita akan membahaskan beberapa pelan dan perancangan menangani Covid-19 bagi memastikan daya tahan ekonomi serta keupayaan Selangor sebagai tiang seri pembangunan dan kemajuan negara dapat kita pertahankan," katanya dalam video menerusi akaun Twitter rasminya pada Ahad.
Beliau turut menyarankan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berbahas dengan cara yang baik dan memberikan cadangan kepada kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dalam mendepani Covid-19.
Media sebelum ini melaporkan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pembukaan DUN Selangor esok dan DUN akan mula bersidang selama sembilan hari bermula pada Selasa hingga 6 September.
Sultan Sharafuddin juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat DUN Selangor Ke-14.
Istiadat pembukaan DUN Selangor pada Isnin akan berlangsung secara ringkas dengan pematuhan prosedur operasi standard yang ketat dan kehadiran sekitar 150 orang berbanding 500 orang sebelum ini. - Bernama