SHAH ALAM - DAP menyatakan kesediaan mempertimbangkan tawaran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk pimpinan pembangkang menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, bagaimanapun pertimbangan itu akan diberikan asalkan pembangkang benar-benar dibenarkan menjalankan fungsi mereka dalam pembabitan tersebut dan bukan hanya untuk mencukupi syarat.
"Demi menyelamatkan nyawa dan mata pencarian, DAP sanggup mempertimbangkan tawaran untuk kepimpinan pembangkang menyertai MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
"Asalkan bukan sekadar tangkap muat dan menjadi 'rubber stamp' kerajaan semata-mata.
"Yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua," katanya menerusi Twitter pada Ahad.
ARTIKEL BERKAITAN: PM tawar pembangkang sertai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19
Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya pada Ahad menawarkan kerjasama dengan blok pembangkang menerusi MPN dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.
Tawaran itu selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak sebagai satu pasukan.
Ismail Sabri juga berkata, negara telah melalui dua peralihan kerajaan dan dua Perdana Menteri dalam tempoh hanya berbaki 21 bulan sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan situasi itu telah merugikan negara.