Suresh harap tuah anak di Paralimpik Tokyo 2020

Iklan
SURESH

JUARA memanah para dunia 2019, S Suresh mengharapkan kelahiran cahaya mata pertamanya bulan lepas mampu membawa tuah kepada beliau untuk merangkul pingat emas dalam Sukan Paralimpik Tokyo, yang bermula dari Selasa ini hingga 5 September depan.

Pemanah dari Sungai Petani, Kedah percaya anaknya, S Monish yang selamat dilahirkan isteri, P Vikneswary, 31, pada tanggal 14 Julai lalu di Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang membawa tuah dalam hidup beliau.

Iklan
Iklan

Bukan itu sahaja, atlet yang bakal menginjak ke usia 28 tahun pada Selasa ini memaklumkan rezekinya juga melimpah ruah sejak kelahiran anak lelakinya itu termasuk menerima bantuan kewangan yang tidak disangka-sangka daripada Kerajaan Kedah dan peralatan daripada Majlis Sukan Negara (MSN).

"Dulu agak sukar untuk dapat bantuan, namun saya merasakan sejak anak pertama lahir, rezeki saya bertambah dan sebab itu saya yakin menang emas di Paralimpik Tokyo 2020.

Iklan

"Jika berjaya, saya akan hadiahkan pingat kepada isteri dan juga anak saya,” katanya.

Bagaimanapun, pemanah yang bakal membuat kemunculan sulung di Paralimpik Tokyo 2020 itu sangat kecewa apabila tidak dapat berjumpa isterinya lebih dari empat bulan selain tidak dapat berada di sisi ketika melahirkan anak susulan situasi Covid-19 yang tidak mengizikannya berbuat demikian.

Iklan

Walaupun merasa terkilan, beliau juga tetap bersyukur bahawa isterinya sangat memahami keadaannya yang perlu fokus untuk menjalani persiapan akhir menggalas tugas mengibarkan cabaran Jalur Gemilang di Jepun.

Selain mengimpikan emas, beliau juga mahu memecahkan rekod peribadi iaitu sebanyak 634 mata dilakukannya ketika menjuarai acara recurve lelaki terbuka pada Kejohanan Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda, dengan sekurang-kurangnya memperoleh 640 mata di Tokyo.

Sementara itu, Suresh yang kehilangan kaki kirinya pada usia 13 tahun selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, mengakui ramalan cuaca panas terik di Tokyo dilihat sebagai cabaran yang perlu ditempuhinya dalam pertandingan di Lapangan Memanah Yumenoshima Park.

Namun, beliau sedikit lega apabila menerima panduan daripada pemanah kebangsaan, Khairul Anuar Mohamad yang mempunyai pengalaman beraksi di venue sama sebelum disingkirkan pemanah Korea Selatan Kim Woojin pada pusingan ketiga acara recurve individu lelaki, di Tokyo 2020 baru-baru ini.

"Khairul Anuar sempat berpesan kepadanya agar tidak memikirkan sangat soal angin dan mahu beliau melepaskan anak panah dengan sebaik mungkin selain menikmati saingan tanpa dibelenggu kerisauan sehingga boleh menjejaskan prestasinya nanti," katanya.

S Suresh yang menduduki ranking ketiga dunia ketika ini, dijadual mula beraksi pada Jumaat ini dalam pusingan penentuan ranking acara recurve lelaki terbuka manakala seorang lagi atlet, Wiro Julin juga bakal bersaing bagi acara compound lelaki terbuka pada pusingan dan hari yang sama.

Kontinjen Malaysia yang akan diwakili 22 atlet para dalam sembilan jenis sukan, diletakkan sasaran untuk membawa pulang tiga pingat emas pada Paralimpik kali ini.

*******

PROFIL S SURESH

Nama penuh: Suresh Selvathamby

Umur: 27 tahun

Tarikh lahir: 24 Ogos 1993

Tempat lahir: Hospital Gerik, Perak

Hobi: Bermain permainan video

Pencapaian terbaik: Juara Kejohanan Para Dunia 2019 di Hertogenbosch, Belanda dan pingat perak Kejohanan Memanah Para Dunia Kelima 2019 di Emiriah Arab Bersatu.