Ismail Sabri kebanggaan orang Pulau Tiga Kiri, Pasir Salak

Iklan
Hashim menunjukkan kediaman pusaka milik keluarga mertua Ismail Sabri yang masih dipelihara baik sehingga kini di Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah, Pasir Salak.

PASIR SALAK - Pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan satu kebanggaan buat penduduk Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah di sini.

Ini kerana keluarga mentua Ahli Parlimen Bera itu berasal dari kampung berkenaan malah rumah pusaka milik keluarga isteri Ismail Sabri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin masih kukuh dipelihara.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk kampung yang rapat dengan Muhaini, Hashim Abdul Rahman, 72, berkata, dia antara individu yang gembira dengan pelantikan tersebut.

Menurutnya, biarpun tidak pernah bersua muka dengan Ismail Sabri, mengenali Muhaini menyebabkan dia terharu dengan berita tersebut.

Iklan

"Saya memang kenal dan selalu berhubung dengan Nani (Muhaini). Rumah pusaka ini saya jaga sejak tahun 2006 lagi dan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau selalu balik jenguk rumah.

"Beliau memang seorang yang sangat merendah diri dan rumah ini beliau sayang sangat sebab peninggalan arwah datuknya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di hadapan rumah berkenaan di Kampung Pulau Tiga Kiri, Kampung Gajah di sini pada Ahad.

Iklan
Nordin (berdiri tiga dari kiri) sebagai Ahli Majlis Penasihat Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) yang dipengerusikan oleh Ismail Sabri (duduk, tengah) ketika menjadi Menteri MOA pada tahun 2013.

Hashim berkata, dia merupakan bapa saudara angkat kepada Muhaini memandangkan ahli keluarga mereka sangat rapat malah salah seorang ibu saudara isteri Perdana Menteri itu merupakan adik beradik susuan ketika kecil.

Dia yang bekerja kampung menjelaskan setiap minggu akan membersihkan rumah tersebut setelah diberikan amanah menjaga kediaman pusaka yang dianggarkan berusia 100 tahun.

Menurutnya, ketika mendapat tahu berita mengenai pelantikan tersebut, dia sempat menghantar mesej mengucapkan tahniah kepada Muhaini.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Institut Agro Usahawan (IGROW), Nordin Abdul Malek turut sama berbangga dengan pelantikan berkenaan.

Katanya, jasa Ismail Sabri membangunkan mukim Pulau Tiga menerusi Program My Kampung My Future (MKMF) semasa menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) masih kekal sehingga kini.

"Pembangunan dan perkembangan hasil program MKMF boleh dilihat sehingga kini terutama di kawasan luar bandar.

"Saya sendiri pernah berada di dalam beberapa jawatankuasa penasihat MOA ketika beliau menjadi Menteri MOA," katanya.

Nordin berkata, amat besar harapan penduduk kampung untuk Ismail Sabri kembali ke mukim Pulau Tiga bagi melihat sendiri kejayaan program MKMF yang pernah dicetuskan sebelum ini.