WASHINGTON - Sekurang-kurangnya 16 orang meninggal dunia dan bepuluh-puluh lagi hilang selepas banjir melanda negeri selatan Amerika Syarikat (AS), kata beberapa pegawai tempatan pada Ahad.
Tennessee dilanda banjir pada Sabtu lalu dan ahli-ahli kaji cuaca menyatakan ribut mengakibatkan bah di negeri tersebut.
Jalan-jalan raya, jambatan dan lebuh raya di kawasan luar bandar ditenggelami banjir manakala bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan telah menjejaskan ribuan orang.
Pada jam 3 petang waktu tempatan pada Ahad lalu, Jabatan Kesihatan Tennessee mengesahkan 16 orang meninggal dunia disebabkan banjir di Mukim Humphreys.
Bagaimanapun, ia memberitahu bahawa angka tersebut masih awal dan menunggu beberapa pegawai perubatan mengemas kini maklumat tentang kematian.
Operasi mencari dan menyelamat diteruskan pada Ahad dengan para pekerja pergi dari rumah ke rumah untuk mencari mangsa-mangsa yang memerlukan bantuan, lapor media tempatan.
Mukim Humphreys terletak di tengah negeri itu iaitu kira-kira 90 minit memandu dari barat Nashville yang merupakan pusat muzik berirama country.
Pada sidang akhbar yang diadakan di Washington, Presiden AS, Joe Biden menyampaikan ucapan takziah ekoran kehilangan nyawa di negeri berkenaan. - Agensi