CYBERJAYA - Penubuhan Kelab Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Model United Nations (MUN) adalah untuk menjadikan sekolah di Malaysia setanding dengan sekolah di negara maju.
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata penubuhan kelab tersebut dan pelaksanaan MUN di sekolah di negara ini dapat memberi pendedahan terhadap isu-isu global seperti keamanan, pembangunan mampan selain dapat mencungkil bakat kepimpinan dalam kalangan anak bangsa.
Berucap pada majlis pelancaran diadakan di Sekolah Seri Puteri di sini hari ini, Maszlee yang juga merupakan Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia, turut mahu penubuhan Kelab UNESCO dan pelaksanaan MUN diperluaskan ke semua sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi.
Setakat ini, 20 sekolah dan 22 institusi pengajian tinggi di negara ini terlibat dalam Kelab UNESCO dan pelaksanaan MUN, katanya.
"Kelab UNESCO ini bukan hanya satu aktiviti kokurikulum, malah aspirasi yang dibawa di sebalik penubuhan kelab ini perlu dihayati oleh guru, murid dan pelajar dengan penerapan nilai positif, menghargai nilai keamanan, kepelbagaian dan perdamaian.
"Budaya pelaksanaan MUN pula membantu mengembangkan kemahiran serta meningkatkan kewibawaan anak-anak didik di pelbagai peringkat untuk masa hadapan," katanya.
Di PUTRAJAYA, Maszlee pada majlis pelancaran Anugerah Guru Inspirasi McDonald's 2019, berkata anugerah itu merupakan pengiktirafan istimewa kepada warga pendidik kerana dedikasi dan komitmen ditunjukkan untuk memberi yang terbaik melangkaui pembelajaran dalam kelas.
"Guru yang merupakan tulang belakang sistem pendidikan negara wajar menerima penghargaan,” katanya.
Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Azmin Jaafar berkata kira-kira 10,000 pencalonan dijangka diterima bagi tahun ini bagi memilih 25 guru untuk menerima Anugerah Guru Insiprasi McDonald's dengan kisah-kisah inspirasi mereka dalam mendidik anak bangsa.
Pencalonan itu dibuka mulai hari ini sehingga 31 Mac depan dengan pemenang bakal membawa pulang wang tunai RM5,000, trofi dan sijil penghargaan, yang dipilih berdasarkan beberapa kriteria.
"Antara kriteria itu adalah usaha meningkatkan pencapaian pelajar, teknik pengajaran inovatif dan tindakan melebihi tugas-tugas hakiki untuk membantu pelajar dalam mata pelajaran tertentu," katanya,
Pemenang akan menerima penghargaan pada satu majlis yang dianjurkan sekolah masing-masing sempena sambutan Hari Guru, katanya.
Azmin juga berkata warga guru akan diberikan baucar untuk menebus satu set makanan percuma di mana-mana restoran makanan segera McDonald's di seluruh negara sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei depan.- Bernama