Bahasa Banjar, Jawa meriahkan sambutan bulan kemerdekaan

Iklan
Gambar hiasan.

SABAK BERNAM - Pelbagai cara boleh dilakukan bagi menyemarakkan Hari Kebangsaan dalam menzahirkan rasa bangga menyambut hari penuh bermakna itu.

Bagi membangkitkan momentum sambutan tersebut tahun ini, Jabatan Penerangan (JaPen) Selangor mengambil inisiatif membuat hebahan dalam bahasa Banjar dan Jawa untuk memudahkan masyarakat setempat di Sabak Bernam memahami maklumat yang hendak disampaikan itu.

Iklan
Iklan

Dihasilkan oleh Juruaudio Visual JaPen Selangor, Fadzlysham Ahmad, antara bahan hebahan itu dalam bahasa Banjar adalah:

"Walaupun negara kita ni sedang berhadapan awan ujian getir, iaitu penularan wabak Covid-19, namun semangat cinta akan negara perlu dipamerkan dengan banggaknya Jalur Gemilang bersempena bulan kebangsaan ini. Jangan kelumpangan, untuk mematuhi SOP yang talah ditetapkan kerajaan”.

Iklan

Hebahan itu yang bermaksud walaupun negara sedang berhadapan dengan ujian getir berikutan penularan wabak Covid-19, semangat cintakan negara perlu dipamerkan dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan ini. Jangan lupa untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan kerajaan.

Fadzlysham, 37 berkata, walaupun Bulan Kebangsaan pada tahun ini disambut sederhana dan tidak dilakukan secara bersemuka, pihaknya tetap bersemangat dan berbangga untuk melaksanakan amanah bagi memastikan penduduk di Sabak Bernam mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang bulan bersejarah itu.

Iklan

Tinjauan mendapati penduduk di Taman Perdana di sini menzahirkan rasa bangga dan teruja apabila pihak JaPen menggunakan bahasa Banjar dan Jawa untuk melakukan hebahan mengenai sambutan Hari Kebangsaan 2021 dan Covid-19 yang memudahkan penduduk setempat memahami mesej disampaikan.

Penduduk, Fathullah Md Danu @ Md Salleh, 53 yang ditemui menghargai usaha Japen menggunakan bahasa Jawa untuk menguar-uarkan pesanan tersebut sekali gus dapat menampilkan jati diri penduduk tempatan yang sentiasa bercakap menggunakan bahasa berkenaan dalam kehidupan seharian mereka.

Sementara itu, seorang pesara kerajaan, Mohd Noh Kamal Mohammad, 59 berkata, dia sangat teruja apabila mendengar perkataan daripada bahasa banjar, ‘kulaan seberataan’ yang membawa maksud saudara mara sekalian, dilaungkan dalam hebahan tersebut.

"Walaupun kami pada masa itu riuh berpandiran (bersembang), apabila saya terdengar bahasa banjar terkeluar dari corong pembesar suara, saya terus memberitahu kepada kawan-kawan mengenai pengumuman tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah JaPen Selangor, Ali Suhaili berkata, selain bahasa Melayu pihaknya juga menggunakan bahasa Banjar dan Jawa melalui program Info On Wheels (IOW) untuk memudahkan penduduk setempat memahami maklumat yang disampaikan.

Beliau berkata, pengedaran Jalur Gemilang dilaksanakan dengan pematuhan SOP ketat tanpa bersemuka, sebaliknya pihaknya menggunakan kaedah tanpa sentuhan dengan meletakkan Jalur Gemilang sama ada di peti surat ataupun di hadapan pintu rumah penduduk sekitar.

"Sempena sambutan Bulan Kebangsaan kali ini, kenderaan IOW JaPen Selangor bergerak di seluruh negeri sambil memasang lagu-lagu kemerdekaan dan edaran Jalur Gemilang oleh petugas kepada penduduk,” katanya. - Bernama