Banjir terburuk di Alor Pongsu sejak 18 tahun lalu

Iklan
Masyarakat setempat berehat di pembahagi jalan ketika melalui jalan yang dinaiki air ekoran kejadian ban pecah dan hujan lebat, ketika tinjauan Bernama di sekitar kawasan Jalan Alor Pongsu-Selama dan Kampung Parit Simpang 5. - Foto Bernama

BAGAN SERAI - Banjir yang berlaku di kawasan Alor Pongsu ketika ini disifatkan antara terburuk dihadapi penduduk sekitar sejak kali terakhir dilanda musibah yang sama 18 tahun lalu.

Tinjauan mendapati, kawasan kediaman penduduk seperti di Kampung Matang Pasir dan Kampung Parit Simpang Lima masih lagi digenangi air sedalam satu meter sejak banjir mula melanda pada Jumaat.

Iklan
Iklan

Situasi itu mengejutkan penduduk kampung yang rata-rata tidak bersedia dan tidak sempat menyelamatkan harta benda atau dokumen penting ketika musibah itu melanda ekoran hujan lebat berpanjangan sejak awal pagi Jumaat lalu hingga menyebabkan paras air naik dengan mendadak.

Pemandu lori, Jamaludin Ahmad, 54 yang berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, di sini berharap agar bencana yang melanda kawasan itu segera berakhir dan mangsa banjir boleh pulang ke kediaman masing-masing.

Iklan

Dia yang berada di PPS itu bersama-sama isteri dan empat orang anaknya berkata, buat masa ini pihak berkuasa memaklumkan bahawa kawasan kediamannya di Kampung Matang Pasir masih digenangi air sedalam kira-kira satu meter dan penduduk tidak dibenarkan pulang lagi.

"Paras air (satu meter) itu masih tetap sama sejak saya sekeluarga dipindahkan ke sini sejak Jumaat. Jadi, saya harap dalam masa terdekat ini cuaca kembali baik, air di kawasan rumah pun boleh cepat surut dan kami boleh pulang.

Iklan

"Fikiran pun agak runsing sekarang sebab tidak sangka banjir teruk ini akan berlaku lagi selepas 2003 yang lalu,” katanya ketika ditemui dan turut bersedih kerana banyak barangan berharga termasuk motosikal, peti ais, perabot dan mesin basuh tidak dapat diselamatkan.

Sementara itu, ibu tunggal Saerah Abdul Rahman, 75 yang tinggal di Kampung Parit Simpang Lima berkata, pengalaman kediamannya dinaiki air secara mendadak sememangnya di luar jangkaannya namun bersyukur kerana jiran tetangga banyak membantu menyelamatkan barang berharga sebelum diarah berpindah ke PPS SK Alor Pongsu.

"Saya memang takut sebab tinggal berseorangan. Air pada mulanya hanya pada paras buku lali sahaja tetapi naik mendadak hingga ke paras dada bermula pukul 1.30 pagi, semalam. Nasib saya baik, ada jiran dan sanak-saudara yang tinggal berdekatan dalam membantu menyelamatkan apa yang patut dari hilang dibawa air,” katanya.

Seorang lagi ibu tunggal, Salasiah Hashim, 71 berharap ada bantuan yang akan dihulurkan oleh mana-mana pihak berwajib bagi meringankan beban selepas banyak peralatan rumah yang rosak akibat bencana tersebut.

Salasiah yang mendiami Kampung Matang Pasir selama lebih 30 tahun turut memberitahu dia juga tidak sempat untuk mengemaskan barang-barang berharga kerana hanya tinggal berseorangan sewaktu bencana itu berlaku.

Menurut data banjir, sehingga pagi ini mangsa banjir di Perak mencatatkan sedikit peningkatan dengan 291 orang daripada 79 keluarga berbanding 284 semalam yang ditempatkan di empat PPS di tiga daerah.

Ini termasuk di daerah Larut, Matang dan Selama dengan PPS SK Alor Pongsu kini menempatkan 68 orang daripada 19 keluarga manakala jumlah mangsa di PPS SK Matang tidak berubah dengan 102 orang daripada 32 keluarga ditempatkan di situ.

Banjir kali juga menyebabkan laluan keluar masuk ke Plaza Tol Alor Pongsu Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dinaiki air dan hanya boleh dilalui kenderaan berat berikutan runtuhan ban rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Samagagah, Alor Pongsu di Kerian.

Dalam pada itu, polis menasihatkan mangsa banjir di kedua-dua PPS tersebut supaya tidak bimbang akan kehilangan harta benda kerana rondaan sentiasa dilakukan di kawasan rumah penduduk yang ditinggalkan akibat banjir.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, seramai 20 anggota dari Balai Polis Bagan Serai dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian ditugaskan untuk membuat pemantauan dan rondaan secara berkala setiap hari bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk.

Selain itu, Mazuki berkata, Bahagian Jenayah Komersial Daerah turut membuat pemantauan di laman sosial bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan mengutip derma bagi membantu mangsa banjir di daerah Kerian. - Bernama