Pelabur asing kekal pembeli bersih ekuiti tempatan

Iklan

KUALA LUMPUR - Pelabur asing kekal sebagai pembeli bersih untuk ekuiti tempatan di Bursa Malaysia minggu lalu walaupun aliran masuk telah menurun kepada RM6.6 juta daripada RM14.0 juta bersih yang dibeli pada minggu sebelumnya.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Adam Mohamed Rahim berkata, para pelabur memulakan urus niaga minggu lalu sebagai pembeli bersih, memperoleh RM20.8 juta bersih ekuiti tempatan pada hari Isnin dan seterusnya sebanyak RM96.6 juta pada hari Selasa - aliran masuk dana asing harian tertinggi sejak 18 Jun tahun ini.

Iklan
Iklan

"Nampaknya kelonggaran sekatan pergerakan terbaharu bagi individu yang telah mendapat vaksin lengkap menghidupkan kembali pergerakan tematik yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi dan ini terbukti dengan kenaikan harga saham membabitkan kaunter seperti Press Metal Aluminium Bhd, saham perbankan dan perladangan," katanya pada Isnin.

Adam berkata, pembelian bersih asing berterusan untuk hari keempat berturut-turut pada Rabu, menyaksikan pelabur luar pesisir membeli sejumlah RM31.8 juta bersih ekuiti tempatan.

Iklan

Beliau berkata, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.1 peratus kepada 1,525.2 mata pada hari Rabu, bergerak seiring dengan trend menaik kebanyakan bursa serantau Asia yang lain kerana pelabur berusaha mencuba mempertimbangkan antara pembukaan semula ekonomi dan ancaman daripada varian Delta COVID-19 yang sangat mudah menular.

"Bagaimanapun, kegiatan membeli berakhir pada Khamis dengan pelabur antarabangsa melupuskan sebanyak RM119.5 juta bersih ekuiti tempatan.

Iklan

"Ini sekali gus menyaksikan indeks FBM KLCI mengakhiri hari urus niaga Khamis dengan 0.7 peratus lebih rendah kepada 1,515.0 mata, sama seperti kerugian yang dipamerkan oleh rakan bursa Asia yang lain seperti Hong Kong, Korea Selatan dan Jepun," katanya.

Menurutnya, pasaran Asia agak terganggu apabila minit mesyuarat Rizab Persekutuan Amerika Syarikat pada bulan Julai menyatakan penghapusan rangsangan boleh berlaku tahun ini.

"Ini menyebabkan beberapa pelabur keluar daripada pasaran ekuiti dan mendapatkan aset yang lebih selamat," jelasnya.

Adam menyatakan jualan bersih berterusan pada Jumaat tetapi pada kadar yang lebih perlahan sebanyak RM23.1 juta bersih dan berpendapat pelabur telah mula tenang menjelang pengumuman pelantikan perdana menteri baharu Malaysia lewat hari itu.

Istana Negara telah mengeluarkan kenyataan mengenai pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri kesembilan Malaysia hanya beberapa minit sebelum pasaran ditutup pada hari berkenaan.

Setakat ini, pelabur antarabangsa telah menjual sejumlah RM430.5 juta bersih ekuiti tempatan bulan ini.

Berdasarkan dari awal tahun sehingga kini pula, penjualan bersih asing di Bursa berjumlah RM6.0 bilion bersih. - Bernama