Sultan Kelantan titah supaya sebaran berita negatif dihentikan

Iklan
Sultan Muhammad V

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dukacita terhadap perbuatan sesetengah pihak yang menyebarkan berita-berita negatif sehingga membantutkan usaha kerajaan mengawal penularan Covid-19.

Perkara tersebut dizahirkan baginda menerusi Titah Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan kali ke-14 yang dibacakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

Iklan
Iklan

Baginda bertitah, gerakan tersebut perlu dihentikan kerana boleh mendatangkan banyak konflik sehingga menambahkan kesulitan dan kesusahan dalam kehidupan.

"Apa juga polemik dan konflik yang tercetus akan menjejaskan penumpuan kepada penyelesaian masalah pandemik dan perkembangan ekonomi, sosial, keagamaan dan lain-lain dalam masyarakat.

Iklan

"Pandemik Covid-19 yang melanda dunia dan negara kita masih berada dalam keadaan sangat membimbangkan. Beta mengambil kesempatan ini mengucapkan takziah kepada seluruh keluarga yang kehilangan orang tersayang.

"Kepada rakyat beta yang terselamat daripada musibah Covid-19, beta menyeru agar bersyukur dan tingkatkan tahap kesabaran, terus istiqamah menghadapi ujian berganda yang sangat hebat ini, dan terus mematuhi tatacara prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Semoga ALLAH segera membebaskan kita daripada fenomena Covid-19 ini," titah baginda.

Iklan

Sultan Muhammad V juga menyifatkan suntikan vaksin Covid-19 adalah kaedah tepat dengan masa untuk langkah pencegahan bagi melindungi masyarakat daripada pandemik berkenaan.

Titah baginda, langkah segera kerajaan membelanjakan sebanyak RM33.52 juta pada tahun lalu dan RM18.77 juta pada tahun ini bagi membantu rakyat yang terjejas akibat penutupan aktiviti ekonomi sepanjang tempoh pandemik Covid-19 adalah tindakan tepat.

"Ia seperti sumbangan Pakej Rangsangan Ekonomi, Bantuan Keperluan Asas Setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), Inisiatif Tunai Penjaja dan Peniaga Kecil, Bantuan Usahawan Kelantan dan pelbagai lagi inisiatif yang telah memberikan manfaat secara terus kepada rakyat.

"Beta mengambil kesempatan ini juga untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan dalam memberi perkhidmatan terbaik bagi memastikan wabak Covid-19 di negeri ini sentiasa dalam keadaan terkawal.

"Terima kasih juga kepada semua jabatan dan agensi negeri dan persekutuan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyalurkan bantuan bagi meringankan beban rakyat yang memang sangat terkesan dengan pandemik Covid-19," titah baginda.

Dalam perkembangan lain, Sultan Muhammad V sukacita dengan usaha meningkatkan skala ekonomi negeri apabila kerajaan negeri telah menggerakkan aktiviti ke arah mewujudkan perbandaran dan wilayah berdaya saing.

Titah baginda, ia seperti Pembangunan Kawasan Tok Bali, Bandar Baru Tunjong, Perkampungan Warisan, Agrodesa dan Tanah Tinggi Lojing.

"Inisiatif kerajaan untuk menangani masalah trafik di Jambatan Sultan Yahya Petra dan Bandar Kota Bharu melalui pembinaan Jambatan Palekbang juga bukan sahaja menjadi penghubung antara jajahan Kota Bharu dan Tumpat, malah jambatan ini perlu mempunyai reka bentuk ikonik, menjadi mercu tanda kepada negeri yang dapat menjadi daya tarikan pelancong.

"Projek pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa juga diharap dapat disiapkan seperti dijadualkan pada tahun 2024.

"Begitu juga projek-projek infrastruktur lain seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Central Spine Road (CSR), Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, Projek Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), Lembangan Sungai Kelantan dan Lembangan Sungai Golok Fasa Satu.

"Selain itu, beta juga menyarankan agar golongan belia menggunakan Teknologi Berasaskan Internet (IOT) untuk menjana ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.

"Selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (Jendela) yang akan dinaik taraf dan menyediakan liputan perkhidmatan jalur lebar menyeluruh dan berkualiti tinggi.

"Beta berharap agar tempoh naik taraf ini dapat disingkatkan dari dua tahun kepada satu tahun sahaja bagi menangani masalah komunikasi pada masa kini," titah baginda.

Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal ke-4 DUN Kelantan kali ke-14 di Kompleks Kota Darulnaim pada Isnin berlangsung selama 30 minit bermula jam 9 pagi.

Ia dihadiri seramai 44 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Persidangan disambung pada Selasa.