Kerajaan Selangor diingatkan terus laksana agenda hijau

Iklan
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj mengingatkan kerajaan negeri agar dapat terus melaksanakan agenda hijau dengan mewujudkan ekosistem terbaik dan moden.

Baginda bertitah, usaha itu juga dilihat dapat menarik pelabur dalam teknologi hijau yang berdaya tahan terhadap perubahan iklim.

Iklan
Iklan

Pada masa sama, baginda turut berpandangan bahawa terdapat keperluan bagi menggiatkan lagi usaha dalam memastikan ekonomi negeri lebih tangkas menghadapi sebarang ancaman dan risiko sama ada dari segi perubahan iklim, bencana alam seperti banjir atau kejadian lain yang mampu mengancam kesejahteraan rakyat.

"Pelaksanaan agenda hijau ini bukan sahaja boleh merangsang guna tenaga malah mampu meningkatkan daya tahan ekonomi dan alam sekitar untuk satu tempoh masa yang panjang,” titah baginda sewaktu Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Negeri Selangor yang Ke-14 Tahun 2021 pada Isnin.

Iklan

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut mempertahankan keputusan kerajaan negeri yang terus komited untuk mengekalkan keluasan Hutan Simpanan Kekal di Selangor agar tidak kurang 30 peratus daripada 12 keluasan tanah negeri.

Baginda bertitah, sehingga kini, kawasan Hutan Simpanan Kekal yang telah diwartakan di Selangor adalah berjumlah lebih kurang 250,000 hektar iaitu bersamaan dengan 31.47 peratus daripada keluasan tanah negeri.

Iklan

"Kerajaan Selangor turut mensasarkan sebanyak 32 peratus kawasan negeri diwartakan sebagai Hutan Simpan Kekal pada tahun 2025,” titah baginda.

Dalam perkembangan sama, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa Selangor juga merupakan negeri pertama di Malaysia yang telah menguatkuasakan penyiasatan awam sebagai syarat di dalam prosedur penyahwartaan Hutan Simpanan Kekal.

"Hal ini menunjukkan tahap komitmen dan kesungguhan tinggi kerajaan negeri beta dalam melindungi sumber hutan selaras dengan agenda pembangunan hijau negeri,” titah baginda.