LUMUT - Empat kru termasuk tekong warga Myanmar ditahan selepas didapati melanggar syarat sah lesen ketika menjalankan aktiviti menangkap ikan di kedudukan 4.4 batu nautika barat daya perairan Pulau Buloh, di sini pada Ahad.
Kesemua mereka berusia lingkungan 21 hingga 49 tahun itu ditahan dalam pemeriksaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak yang melakukan rondaan Op Benteng dan Op Pintas di sempadan perairan negeri sekitar jam 6.45 petang.
Iklan
Iklan
Pengarah Maritim Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, keempat-empat warga asing berkenaan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
"Ketika ditahan, bot berkenaan sedang melakukan aktiviti perikanan berhampiran Pulau Buloh dengan menggunakan pukat tunda sebagai alat penangkapan ikan.
"Oleh itu mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan kurang dari 5 batu nautika seperti kebenaran syarat sah lesen serta Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Menurutnya, bot bersama tahanan dan hasil tangkapan dianggarkan 400 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu bagi siasatan lanjut.
"Orang ramai diminta terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Perak 05 - 683 8737 bagi tujuan keselamatan bersama," katanya.