MARANG -"Abang ada pesan suruh saya berubah jadi lebih baik, jaga keluarga,” kata adik Muhammad Al Amin Mohamad Ali, 35, yang meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya terbabas di Pak Madah, hari ini.
Muhammad Al Alim Al Halim Mohamad Ali, 26, bagaimanapun tidak menyangka ia menjadi pesanan terakhir abang sulungnya melalui ibu mereka, Zaiton Ismail, 55, pada Rabu lalu.
Menurutnya, dia sudah berumah-tangga dan tinggal berasingan manakala abangnya itu masih bujang serta masih tinggal bersama keluarga di Bukit Guntong bersama adik-beradik lain.
"Abang bekerja sebagai penebar roti canai di sebuah warung di Kepong, Kuala Terengganu. Kali terakhir saya berjumpa dengannya pada dua hari lalu. Masa itu mak sampaikan pesannya itu
"Mungkin abang segan nak beritahu sendiri sebab itu dia minta mak yang sampaikan. Saya faham apa maksud abang sebab saya bakal menimang cahaya mata sulung tiga bulan lagi," katanya.
Muhammad Al Alim Al Halim berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Abangnya, Muhammad Al Amin meninggal dunia selepas motosikal ditunggang terbabas lalu melanggar paip di tepi jalan di Pak Madah ketika dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Guntong.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, mangsa juga dikatakan mengejar masa untuk menunaikan solat Jumaat namun hasratnya untuk tiba di rumah tepat pada masanya tidak kesampaian.
Muhammad Al Alim Al Halim berkata, kejadian yang menimpa abangnya itu memberi kesan mendalam kepada semua ahli keluarga kerana abangnya seorang yang bertanggungjawab.
"Kami 12 beradik. Abang anak sulung. Dia seorang yang mengambil berat tentang adik-adiknya. Sudah pasti apa yang menimpanya memberi kesan mendalam kepada kami terutama mak dan ayah," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Marang, Deputi Superintendan Mohd Suhaimi Ali ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan menerima laporan kejadian kemalangan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1957.