KUALA LUMPUR - Kebenaran makan di premis (dine-in) melegakan pengguna khususnya bagi mereka yang bekerja dan mempunyai komitmen di luar.
Seorang jurukamera, Sharifudin Abdul Rahim, 36, berkata, sebelum ini dia terpaksa menjadikan kereta, hentian bas juga kaki lima sebagai tempat makan ketika larangan dine-in berkuat kuasa.
Menurutnya, pengumuman kerajaan itu dilihat sangat membantu buat mereka yang benar-benar memerlukan, pada masa sama prosedur operasi standard (SOP) tidak diabaikan.
"Mungkin ramai yang tak setuju dine-in dibenarkan ketika kes masih tinggi, namun pada pandangan saya ia terletak pada diri masing-masing.
"Itu adalah pilihan, jika takut makan di kedai boleh bungkus dan makan di rumah. Namun, jika makan di kedai syaratnya juga ketat iaitu pelanggan perlu lengkap dua dos vaksin, hanya melibatkan kedai terbuka dan bukan premis bertutup.
"Ini menunjukkan sebelum sesuatu keputusan dibuat segala aspek telah dikaji dan mengambil kira pandangan semua pihak," katanya.
Khamis lalu, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kebenaran dine-in melibatkan negeri di Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa Jumaat lalu.
Sementara itu, seorang kakitangan awam, Nor Azizah Osman, 41, berkata, kebenaran dine-in dianggap terapi buat golongan ibu yang sibuk menguruskan hal rumah tangga ketika Sekatan Pergerakan Penuh.
"Menguruskan hal di rumah lagi penat daripada bekerja kerana selain memasak perlu juga memantau anak-anak PdPR serta komitmen kerja.
"Apabila boleh makan di kedai, boleh rehatkan fikiran sebentar dan juga melepas kerinduan makan di luar bersama keluarga yang sebelum ini menjadi aktiviti bulanan kami," katanya.
Walau bagaimanapun katanya, lebih baik makan di rumah kerana lebih terjamin tahap keselamatan memandangkan kes Covid-19 dalam negara masih tinggi.
"Saya berharap pelanggan dan pekedai jujur dengan kelonggaran tersebut iaitu memastikan benar-benar mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Penguatkuasaan perlu tegas dan perlu semak sijil vaksinasi dengan pastikan pengunjung benar-benar telah lengkap dua dos vaksin," katanya.