Bangga Ismail Sabri anak jati Pahang ketiga dilantik sebagai PM

Iklan
Ismail Sabri merupakan anak jati Pahang yang ketiga dilantik sebagai PM selepas Allahyarham Tun Abdul Razak dan Najib.

KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang menyifatkan pelantikan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan merupakan satu kebanggaan buat seluruh rakyat Pahang.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, lebih membanggakan apabila Ismail Sabri merupakan anak jati Pahang yang ketiga dilantik sebagai Perdana Menteri selepas Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (1970-1976) dan Datuk Seri Najib Tun Razak (2009-2018).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lebih manis, pelantikan dan pengurniaan suratcara pelantikan Perdana Menteri disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang juga Sultan Pahang.

"Agak di luar jangkaan apabila beliau yang dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 7 Julai lalu telah diangkat sebagai Perdana Menteri dalam tempoh 45 hari sahaja.

Iklan

"Bak kata pepatah 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu'," katanya dalam ucapan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ke-4 Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang kali ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini pada Isnin.

Wan Rosdy

Wan Rosdy berkata, pemilihan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah melalui proses yang teliti serta menepati kehendak undang-undang.

Iklan

"Pemilihan beliau juga bermerit daripada segi jawatan dalam parti mahupun kerajaan dan kelayakan akademiknya.

"Menerusi jawatan-jawatan yang disandangnya dalam kerajaan sebelum ini, beliau sudah tentu cukup berpengalaman termasuk dalam mengendalikan isu pandemik Covid-19," katanya.

Beliau sehubungan itu meminta semua pihak memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Ismail Sabri agar dapat menjalankan tugas dengan berkesan khususnya dalam menangani pandemik Covid-19 serta memulihkan semula ekonomi.

"Semoga kepemimpinan beliau menerajui kerajaan Persekutuan akan memberi impak sebaik-baiknya kepada negara dan negeri ini," ujar beliau.