PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta mengakui The Gunners kini berdepan kesan Covid-19 selain dihimpit isu kecederaan yang mula menjejaskan momentum kelab London tersebut dalam mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
"Sejujurnya Arsenal berdepan ujian yang mencabar keupayaan dan komitmen terbaik dalam kalangan pemain apabila kehilangan sembilan pemain yang majoriti adalah pemain senior.
"Saya menurunkan kebanyakan pemain muda dalam skuad senior dalam dua perlawanan terakhir ini yang mana belum pernah berlaku sepanjang sejarah kelab ini.
"Apapun saya memberikan pujian kepada para pemain atas komitmen dan kesungguhan masing-masing, apatah lagi mereka beraksi dengan penuh keberanian dalam situasi mencabar untuk menghasilkan kemenangan yang masih belum direalisasikan,” katanya.
Anak buah Arteta melakar kekalahan kedua berturut-turut musim ini apabila dijinakkan 0-2 seteru setempat Chelsea di Stadium Emirates setelah menyingkap tirai saingan liga dengan kekalahan 0-2 kepada kelab yang baharu dinaikkan dari Liga Kejuaraan, Brentford di Stadium Komuniti Brentford.
Tambah memeritkan, ini juga merupakan kali pertama The Gunners tewas dalam dua perlawanan tanpa menjaringkan sebarang gol.
Tonggak baharu The Gunners, Ben White terlepas peluang melakukan debut menentang The Blues selepas disahkan positif Covid-19 manakala Hector Bellerin dan Thomas Partey juga berada dalam senarai kecederaan.
Nasib malang terus menimpa skuad Arteta apabila dua lagi pemain, Kieran Tierney dan Gabriel Martinelli terpaksa dikeluarkan pada babak kedua akibat kecederaan.
Arsenal bakal berkunjung ke Stadium Etihad bagi menentang Manchester City pada Sabtu.
Arteta mengingatkan bahawa The Gunners tidak boleh lagi berdepan kekalahan ketika berdepan penyandang juara kendalian Pep Guardiola tersebut.
"Saya tidak mahu pemain-pemain menyimpan perasaan bersalah dalam diri masing-masing, pasukan atau kelab ini kerana itu tidak akan membantu langsung.
"Apa yang saya mahukan adalah individu yang tidak hanya memiliki keazaman tinggi untuk melawan tetapi juga sanggup mengharungi cabaran getir di hadapan kita. Kebiasaannya, apabila berada pada tahap itu habuan sudah menanti,” katanya.