KUALA LUMPUR - Jumlah jenazah pesakit Covid-19 di beberapa hospital utama di Kuala Lumpur menunjukkan penurunan.
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerusi kemas kini di Facebooknya pada Isnin berkongsi perkembangan positif itu.
"Alhamdulillah, suasana di jabatan forensik di hospital-hospital utama di Kuala Lumpur semakin bertambah baik dengan berkurangnya jumlah jenazah Covid-19.
"Walaupun begitu, bukan bermakna kita sudah boleh kembali seperti sedia kala," kata pentadbir Facebook itu.
Menurut perkongsian itu, pihaknya meluahkan kelegaan dengan situasi tersebut namun sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
"Begitu juga dengan kami barisan petugas khas pengurus jenazah Covid-19, suasana yang tidak kelam kabut ini sedikit melegakan hati kami, tapi masih sentiasa dalam mod siap sedia.
"Apa pun yang terjadi, terima kasih semua kerana anda membantu petugas barisan hadapan dalam mendepani tugas-tugas mencabar ini. Doa anda kami pohon agar kami terus kuat," katanya.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan kemasukan ke hospital dan penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan Covid-19 di Lembah Klang semakin berkurangan susulan program vaksinasi mencapai tahap 60 peratus.
Sementara itu, pada Ahad, sebanyak 19,807 kes harian dicatatkan melibatkan 98.3 peratus daripadanya dalam kategori satu dan dua.
Menurut statistik dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia itu, sebanyak 232 kematian dicatatkan pada hari berkenaan termasuk 15 kematian di Kuala Lumpur manakala Selangor dengan 94 kematian.