SHAH ALAM - Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat untuk bertanding sekurang-kurangnya di 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Pejuang berharap pengundi bukan Melayu turut memberi sokongan kepada parti itu seperti UMNO mendapat sokongan ramai pengundi Cina dan India.
Menurutnya, ahli Pejuang terdiri daripada orang muda yang bebas rasuah dan bersih.
"Kita akan tanya kepada semua yang ingin menyertai Pejuang sama ada mereka masuk untuk menyokong parti atau hanya berpengaruh dan ingin mendapat tempat untuk bertanding.
"Untuk mendapatkan kemenangan memerlukan banyak pengorbanan dilakukan. Jadi kepada sesiapa yang ingin menyertai Pejuang kalau tidak dipilih, sanggupkah untuk terus menyokong parti.
"Kita mahu bertanding banyak kerusi, mungkin sampai 120 kerusi (parlimen)," kata Mahathir dalam wawancara secara maya di portal The Malaysian Insight.
Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata, walaupun terdapat ramai pemimpin parti itu yang berkebolehan dalam satu kawasan yang dipertandingkan namun hanya seorang sahaja akan dicalonkan melalui cara kesepakatan bagi mengelak berlaku sabotaj.
"Kita tidak boleh memberi jaminan semua orang berbakat bakal menjadi wakil rakyat sebab mahu fokus kepada pendirian kerajaan yang baik untuk membangunkan negara supaya semua rakyat mendapat nikmat tidak kita parti lawan atau tidak.
"Dulu semasa saya menjadi Perdana Menteri, ramai yang tidak sedar saya telah membangunkan negara, memajukan negara, berikan biasiswa kepada ribuan pelajar tanpa mengira kaum untuk semua dapat nikmat.
"Tetapi selepas saya letak jawatan, kerajaan baru mengurangkannya kerana tumpuan baru kerajaan ketika itu bukan untuk kebaikan semua tetapi untuk penyokong mereka sahaja,” ujarnya.