SHAH ALAM - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor sedang memantau lapan lokasi tumpuan orang ramai yang berisiko berlakunya ancaman fenomena kepala air terutama ketika musim hujan di Hulu Selangor.
Pengarahnya, Norazam Khamis berkata, kawasan tersebut adalah Latar Medang dan Sungai Kampung Orang Asli di Pertak, River View di Sungai Bernam, kawasan rekreasi Sungai Inki Kalumpang, Sungai Sendat dan Sungai Tua di Ulu Yam, Sungai Kedondong di Jalan Genting Highland dan Sungai Cilin di Kuala Kubu Baru.
Iklan
Iklan
"Bagi persediaan menghadapi kebarangkalian kejadian banjir pula, JBPM Selangor telah mengenal pasti beberapa lokasi atau kawasan yang sering banjir seperti di Bestari Jaya, Sepang, Dengkil, Batu 18 Hulu Langat, Gombak dan kawasan sekitar Rawang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Norazam berkata, persediaan dari segi peralatan dan kelengkapan seperti bot dan perapian enjin sudah pun dilakukan, selain pemantapan kendiri anggota serta pegawai JBPM Selangor yang dilatih dengan kemahiran pengendalian bot dan latihan menyelamat di air.
Beliau berkata, JBPM juga menyusun cuti anggota dan pegawai iaitu jika ada keperluan cuti akan dibekukan di samping meningkatkan kekerapan rondaan di kawasan-kawasan rendah yang mudah dinaiki air.
Rabu lalu, beberapa kawasan kampung dan taman perumahan di sekitar Gunung Jerai termasuk di Yan, Kedah, dilanda banjir akibat fenomena kepala air dari kawasan air terjun di kaki gunung itu. - Bernama