SELAYANG - Seorang penghantar makanan yang tular di media sosial kerana memukul pekerja kedai serbaneka dua minggu lalu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Ehsaan Roslan, 23, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Nik Fadli Nik Azlan.
Mahkamah memerintahkan lelaki itu dipenjara selama empat bulan, jika gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Ehsaan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Muhammad Amirul Saliman, 21, di hadapan sebuah kedai serbaneka di Taman Perwira, Gombak di sini pada jam 1.30 petang, 6 Ogos lalu.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, tertuduh merayu dikenakan hukuman ringan dengan alasan baru sahaja mendirikan rumah tangga.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shasha Hidayah Nor Azhar mencadangkan agar mahkamah menjatuhi hukuman berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kecederaan yang dialami oleh mangsa.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian ketika mangsa berehat di kedai serbaneka tersebut, dia ternampak seorang wanita berdiri di tengah panas.
Mangsa kemudian telah memanggil perempuan itu untuk berteduh di tempat yang redup.
Secara tiba-tiba, tertuduh datang ke arah mangsa lalu memarahinya kerana mengganggu wanita itu yang juga teman wanita tertuduh (kini isterinya).
Tertuduh kemudian telah bertindak menyepak kepala mangsa sehingga mengalami kecederaan.