KUALA LUMPUR - Pembelian tambahan enam juta vaksin Covid-19 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mampu meningkatkan kesiapsiagaan negara dalam menghadapi cabaran Covid-19 selepas ini.
Pakar Epidemiologi dan Biostatistik Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, ancaman varian Delta yang mudah berjangkit berkemungkinan menyebabkan golongan berisiko tinggi di negara ini memerlukan suntikan dos ketiga vaksin Covid-19 atau dos penggalak.
"Pembelian vaksin tambahan ini boleh digunakan bagi tujuan itu. Pendekatan memberikan dos penggalak kepada golongan berisiko tinggi diamalkan di negara-negara Eropah. Jadi keputusan kerajaan untuk membeli vaksin tambahan ini adalah langkah yang baik,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Isnin.
Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya pada Ahad mengumumkan pembelian tambahan enam juta dos vaksin Covid-19 yang akan diterima menjelang awal bulan depan.
Selain itu, Perdana Menteri turut memberikan jaminan akan meneruskan dan memperkasa strategi menangani pandemik Covid-19 yang telah dirangka kerajaan sebelum ini dengan mengambil kira pandangan pakar-pakar kesihatan awam negara.
Mengulas mengenai aspek yang perlu menjadi tumpuan dalam memperkasakan strategi menangani Covid-19, Dr Malina berkata, perkongsian data yang lebih meluas dan jelas diperlukan supaya masyarakat faham bahawa pada tahap ini perkara yang perlu dilihat ialah beban sektor kesihatan negara berbanding jumlah kes baharu Covid-19 yang diumumkan setiap hari.
"Pada masa ini secara purata 98 peratus (kes harian Covid-19 yang dilaporkan) adalah tidak bergejala. Masyarakat perlu faham tentang kuarantin sendiri di rumah dan peranan yang perlu dimainkan bagi memastikan penularan dapat dicegah,” katanya.
Penglibatan komuniti dan kesedaran masyarakat adalah penting supaya semua pihak faham pada masa ini jumlah pesakit Covid-19 yang memerlukan bantuan di hospital adalah aspek yang perlu dilihat.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar ketika dihubungi berkata, strategi menangani pandemik Covid-19 perlu diperkasakan dengan memulakan pemberian vaksin kepada mereka yang berumur 12 tahun ke atas.
"Ciri-ciri jangkitan virus dan varian Covid-19 adalah sangat dinamik. Golongan berusia 12 tahun ke atas terdedah kepada jangkitan Covid-19 dan berisiko menjadi sumber jangkitan dalam mana-mana komuniti yang besar,” katanya.
Dr Zainal Ariffin berkata, jumlah mereka yang berdaftar di MySejahtera dan belum mendapat janji temu vaksinasi masih ramai. Selain itu, terdapat aduan dari beberapa negeri mengenai bekalan vaksin tidak cukup atau lambat berbanding permintaan dan prestasi pusat pemberian vaksin (PPV).
Jadi, langkah kerajaan untuk memperkasa strategi menangani Covid-19 perlu memastikan penghantaran lancar bekalan vaksin ke semua negeri, katanya.
Mengenai suntikan penggalak, Dr Zainal Ariffin berkata, ia boleh dirancangkan selepas sasaran dua dos tercapai dengan keutamaan kepada mereka yang mudah terjejas dan kumpulan berisiko tinggi secara berperingkat.
Ditanya mengenai pendekatan menangani golongan antivaksin, beliau berkata kerajaan perlu menggalakkan pelbagai premis untuk mewajibkan pelawat menunjukkan sijil digital vaksinasi sebelum masuk.
Apabila kadar vaksinasi negara sudah mencapai hampir 90 peratus, sijil vaksinasi boleh diwajibkan bagi sektor terpilih, kata Dr Zainal Ariffin. - Bernama