KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam mahu memastikan peralihan jawatannya daripada Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), berjalan lancar, sebelum mengulas lanjut berhubung tugas baharunya di MFL.
Menurut Stuart, dia mahu memastikan ‘peralihan’ tugas berkenaan berjalan lancar sebelum membuat membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara berkenaan.
"Saya masih ada perkara yang perlu saya selesaikan bersama exco dan rakan sekerja bagi memastikan peralihan ini berjalan lancar sebelum saya berbicara mengenai tugasan saya yang seterusnya di MFL; lagi pun rasa hormat dan perhatian saya terhadap peralihan dalam keluarga FAM ini adalah keutamaan saya buat masa ini.
"Untuk menjawab soalan mengenai perpindahan saya ke MFL adalah lebih sesuai untuk dijawab sedikit masa lagi di mana saya dapat memberikan anda maklum balas yang lebih terperinci mengenai sebarang persoalan anda semua.
"Oleh itu saya berharap dapat menjawab sebarang persoalan dan langkah-langkah yang dirancang dalam sidang media secara rasmi pada 25 Ogos 2021,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.
Sebelum ini Stuart disebut-sebut bakal mengisi kekosongan jawatan CEO MFL, setelah Datuk Ab Ghani Hassan dilantik selaku Presiden MFL, bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin yang meletakkan jawatannya pada 12 Ogos lalu.
Sementara itu Stuart berkata, dia menghargai kepercayaan yang diberikan kepadanya oleh pihak MFL bagi menjawat jawatan berkenaan.
Justeru menurut Stuart, dia berhasrat untuk melakukan yang terbaik bagi memikul peranan besar yang telah diamanahkan kepadanya itu.
"Saya pasti perlantikan ini akan memberikannya cabaran baharu dalam usaha menyumbangkan sesuatu kepada bola sepak negara dan pengumuman hari ini mencetuskan emosi yang bercampur-baur.
"Saya gembira dan berpuas hati dengan tugasan yang telah saya laksanakan di FAM dan pastinya saya berasa sedih meninggalkan organisasi yang saya sangat berbesar hati dapat berkhidmat selama ini di mana sudah pasti saya amat berbangga dapat bekerja di bawah teraju Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin di mana saya mempelajari banyak perkara sepanjang 37 bulan terakhir ini.
"Kini mengenai tugas saya di MFL, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden MFL, Datuk Ab Ghani dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah MFL atas kepercayaan mereka untuk melantik saya memikul peranan besar dan ia pasti akan memberikan saya satu cabaran baharu untuk menyumbang kepada bola sepak Malaysia di mana saya berhasrat untuk melakukan yang terbaik dalam misi mencapai hasil yang diharapkan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:Stuart dilantik CEO MFL baharu