JASIN - Bimbang dan takut video lucahnya tersebar, seorang guru lelaki kerugian RM600 selepas diperas ugut oleh seorang wanita yang dikenali melalui aplikasi di telefon.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, mangsa berusia 26 tahun itu berkenalan dengan seorang wanita melalui aplikasi MiChat dan suspek meminta mangsa berhubung menggunakan video call WhatsApp untuk bersembang.
Menurutnya, mangsa yang bersetuju kemudian melihat seorang wanita berbogel dalam video tersebut, lalu mangsa turut bertindak seperti itu sebelum panggilan video hampir 5 minit itu diputuskan.
"Modus operandi yang dilakukan ialah suspek akan menunjukkan video bogel mangsa yang telah dirakam lebih kurang 30 saat dan mengugut mangsa supaya memasukkan wang sebanyak RM200," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Beliau berkata, suspek akan mengugut untuk menyebarkan video tersebut sekiranya mangsa tidak menurut permintaan itu, dan berjanji video berkenaan akan dipadamkan selepas menerima bayaran.
"Bimbang dan takut dengan keadaan itu, mangsa membuat tiga kali transaksi dalam talian berjumlah RM600 dengan pembayaran permulaan RM200 pada Sabtu lalu ke dalam akaun di atas nama Hernie John.
"Bagaimanapun mangsa yang bimbang dengan keselamatan keluarga selain tidak mahu dimalukan, telah membuat laporan polis pada hari sama dia memasukkan wang tersebut," katanya.
Mohd Sukri berkata, polis Melaka telah menerima 10 kes pemerasan serta ugutan melalui media sosial iaitu enam kes di Melaka Tengah dan empat kes di Jasin.
"Kita sedang mengesan suspek dan polis memandang serius sebarang aktiviti pemerasan video lucah seumpama ini.
"Orang ramai juga dinasihatkan tidak melayan sebarang nombor telefon yang tidak dikenali supaya tidak menjadi mangsa pemerasan," katanya.