YAN - Polis menamatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada jam 5 petang setelah mangsa terakhir yang hilang akibat tragedi kepala air Gunung Jerai ditemukan pada jam 12 tengah hari Isnin.
Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, mayat keenam itu dikenal pasti sebagai Ridwan Poniman, 61, yang ditemukan di bawah timbunan kayu di kawasan air terjun Titi Hayun.
Katanya, mayat Ridwan ditemukan kira-kira satu kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.
"Seperti yang kita jangkakan berdasarkan petunjuk selepas penemuan mangsa kelima semalam (Ahad), mangsa hari ini juga ditemui di bawah timbunan kayu.
"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Yan untuk pengecaman waris," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan, di sini pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: Mayat keenam mangsa kepala air di Yan ditemukan masih sempurna
Menurutnya, walaupun operasi SAR telah ditamatkan namun pihak polis masih menutup laluan ke Titi Hayun untuk keselamatan orang ramai.
"Kawasan itu masih diklasifikasikan sebagai kawasan bencana dan sekarang ini kerja-kerja mengeluarkan kenderaan berat sedang dilakukan setelah operasi SAR ditamatkan pada Isnin," katanya.
Dalam kejadian pada Rabu, tragedi berkenaan telah mengorbankan enam mangsa selain turut menyebabkan kerosakan rumah penduduk di sekitar Yan dan Merbok.