WASHINGTON - Amerika Syarikat (AS) pada Ahad mengarahkan beberapa syarikat penerbangan utama negara itu untuk terlibat usaha pemindahan puluhan ribu rakyat mereka, penduduk Afghanistan dan warga asing dari Kabul selepas situasi semakin meruncing hingga menyaksikan tujuh maut di lapangan terbang tersebut.
Susulan itu, Setiausaha Pertahanan, Lloyd Austin mengaktifkan Armada Udara Simpanan Awam (CRAF) yang jarang digunakan untuk membantu proses itu yang masih berbaki seminggu lagi.
Sementara itu, Pentagon dalam satu kenyataan mengesahkan sebanyak 18 pesawat awam milik American Airlines, Atlas, Delta, Omni, Hawaiian dan United Airlines akan membantu puluhan pengangkutan kargo tentera yang terlibat dalam usaha pemindahan tersebut.
"CRAF akan memindahkan kumpulan dari pusat penempatan sementara di pangkalan tentera AS di Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) ke negara Eropah serta sebahagian besarnya ke AS,” jelasnya lagi.
Ketika ini, gesaan semakin meningkat supaya Washington melanjutkan tarikh akhir untuk misi pemindahan terbesar itu yang ditetapkan pada akhir bulan ini.
Presiden Joe Biden bagaimanapun masih berharap usaha pemindahan yang sukar itu dapat diselesaikan menjelang 31 Ogos ini seperti dipersetujui bersama Taliban.
"Kami akan terus menilai situasi semasa dan keperluan pelanjutan,” ujarnya. - AFP
Info:
>CRAF pernah diaktifkan sebanyak dua kali iaitu ketika usaha memindahkan pasukan tentera sewaktu Perang Teluk 1990-91 dan pencerobohan AS ke atas Iraq pada 2002-2003.
>Sehingga Ahad, kira-kira 3,400 dipindahkan dari Kabul menggunakan 39 pesawat termasuk penerbangan komersial manakala 1,700 lagi menaiki pesawat tentera AS.
>Kira-kira 30,300 dibawa keluar dari Kabul sejak operasi pemindahan bermula pada 14 Ogos lalu.