KUALA LUMPUR - Pelawaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada ahli Parlimen pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangai Covid-19 perlu diterjemahkan dengan objektif.
Beberapa pemerhati politik berpendapat kerjasama pembangkang dalam MPN dan jawatankuasa khas itu berperanan khususnya untuk semak dan imbang supaya dapat menjayakan matlamat serta fungsi MPN atau jawatankuasa tersebut.
Usaha ini penting bagi membuktikan kepimpinan Ismail Sabri lebih inklusif untuk semua lapisan masyarakat termasuk pembangkang, selaras konsep 'Keluarga Malaysia’ yang dibawa oleh Perdana Menteri sendiri.
Profesor Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Profesor Datuk Dr Nasrudin Mohamed menyifatkan pelawaan itu sebagai langkah awal yang baik berpaksikan konsep musyawarah dan kerjasama pintar rentas parti.
Beliau berkata, sekiranya formula kerjasama kerajaan-pembangkang dapat dikemudi dengan baik, ia menjadi sejarah penting urus tadbir negara yang baharu dan progresif.
"Ini termasuklah komposisi keanggotaan yang benar-benar berkualiti, memiliki jiwa murni watan, ideologi yang tidak bertentangan dengan sistem dan nilai, serta bebas daripada sifat berat sebelah berunsurkan politik kepartian.
"Sinergi antara kepimpinan kerajaan dan bukan kerajaan boleh diukur melalui pewujudan jawatan kuasa seumpama itu,” katanya dihubungi Bernama pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: PM tawar pembangkang sertai MPN, Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19
Pada Ahad, Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya selepas dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan menawarkan ruang kepada kepimpinan pembangkang untuk menganggotai MPN dan jawatankuasa khas itu sebagai usaha mewujudkan kerjasama rentas parti agar kestabilan politik dicapai.
Dari sudut politik, Nasrudin berkata, usaha itu mencerminkan elemen konsosiasi atau pendekatan demokrasi melalui penglibatan pemimpin politik rentas parti, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mahu semua pihak bekerjasama sebagai satu pasukan.
"Jika pelawaan itu diterima, ia memberi laluan kepada lebih banyak usaha kolaboratif lain sekali gus memberi sinar baru kepada sistem politik negara yang diperkemas dan diperbaharui, berbanding bersifat parokialisme dan komunalisme selama ini,” katanya.
Senada dengannya, penganalisis politik Universiti Malaya, Profesor Madya Awang Azman Awang Pawi berkata, skop tugas dan fungsi pembangkang harus diperincikan dan diperjelaskan, selain memberi jaminan bahawa keterlibatan mereka tidak dipersiakan seperti dilihat berlaku dalam kerajaan terdahulu.
Bercakap kepada Bernama, beliau berkata, kerajaan di bawah Ismail Sabri perlu tampil berani menterjemah kerjasama itu menerusi pembentukan dasar.
"Pelawaan juga haruslah serius agar ia tidak dilihat seperti ‘ajak-ajak ayam’ atau hanya mencukupkan kuota keanggotaan semata-mata, yang pada akhirnya akan merugikan kedua-dua pihak.
"Selain itu, soal keanggotaan dalam MPN juga harus seimbang termasuk penglibatan pakar bidang atau teknokrat, agar setiap keputusan dibuat secara holistik dengan mengambil kira pandangan dari setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Kedua-dua pemerhati politik itu juga bersependapat, agar kerajaan terus membuka ruang penglibatan pembangkang mengikut keperluan jawatankuasa yang bakal dibentuk pada masa akan datang, agar fungsi semak dan imbang dapat dilaksanakan sebaiknya. - Bernama