Cabaran baharu menanti Stuart

Iklan
Hamidin (dua dari kiri), Ab Ghani (kiri), Stuart (kanan) semasa melakukan kunjungan hormat ke atas Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki di Putrajaya tahun lalu. FOTO: FB FAM

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu pada Isnin.

Pelantikan Stuart bagi menjawat jawatan itu sekali gus mengakhiri spekulasi siapa bakal menduduki kerusi sebagai CEO baharu MFL yang sebelum ini dipegang oleh Datuk Ab Ghani Hassan.

Dalam satu kenyataan, Stuart berkata, beliau mahu menyelesaikan beberapa perkara sebelum memulakan tugas baharunya itu pada 1 September ini.

Iklan
Iklan

"Kepada semua rakan media, saya berharap anda dapat memahami mengapa saya tidak dapat membuat kenyataan rasmi sehingga saya menyelesaikan beberapa perkara lagi.

"Saya masih ada perkara yang perlu saya selesaikan bersama exco dan rakan sekerja untuk memastikan peralihan ini berjalan lancar sebelum saya mula berbicara mengenai tugasan saya di MFL.

"Rasa hormat dan perhatian saya terhadap peralihan dalam keluarga FAM ini adalah keutamaan saya buat masa ini,” katanya yang mula menjawat jawatan Setiausaha Agung FAM pada 15 Julai 2018.

Iklan

Sejak beberapa hari lalu, nama Stuart disebut-sebut sebagai CEO baharu MFL setelah Ab Ghani dilantik mengisi jawatan Presiden MFL bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

"Pengumuman hari ini mencetuskan emosi yang bercampur-baur. Saya gembira dan berpuas hati dengan tugasan yang telah saya laksanakan di FAM dan pastinya saya berasa sedih meninggalkan organisasi ini.

Iklan

"Sudah pasti saya amat berbangga dapat bekerja di bawah teraju Presiden FAM yang mana saya mempelajari banyak perkara sepanjang 37 bulan terakhir ini.

"Mengenai tugas saya di MFL, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Presiden MFL dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah MFL atas kepercayaan mereka untuk melantik saya memikul peranan besar.

"Ia pasti akan memberikan saya satu cabaran baharu untuk menyumbang kepada bola sepak Malaysia di mana saya berhasrat untuk melakukan yang terbaik dalam misi mencapai hasil yang diharapkan,” jelasnya.

Terdahulu, Ab Ghani menyifatkan pelantikan Stuart itu dibuat sebagai satu keputusan simbiosis yang bermanfaat kepada industri khususnya kepada pengurusan bola sepak tempatan.