PENGENDALI Penang FC, Tomas Trucha menyifatkan tiga mata yang diperoleh The Black Panthers ketika menewaskan Sabah FC 3-0 dalam aksi Liga Super di Stadium Likas pada Ahad adalah hasil kerja keras dan disiplin tinggi pemain-pemain dalam perlawanan.
Malah menurut Trucha, misi menjinakkan The Rhinos yang bertekad mengakhiri kemarau kemenangan dalam tujuh perlawanan terakhir bukan satu tugas mudah, tambahan pula pelawat dipalit kekalahan kepada Kedah Darul Aman di Alor Setar sebelum ini.
"Bola sepak hari ini bukan segala-galanya bergantung kepada bermain dengan cantik tetapi kerja keras serta sentiasa berusaha di atas padang bagi mendapatkan jaringan.
"Kami bernasib baik apabila lawan mempunyai peluang yang cukup baik bagi mendapatkan jaringan terlebih dahulu, namun tidak berjaya menyudahkannya.
"Cukup penting kami berjaya mendapatkan satu jaringan sebelum separuh masa pertama berakhir dan apabila lawan berikan tekanan bagi mencari gol penyamaan, situasi itu membuka ruang yang lebih banyak kepada kami bagi dapatkan gol kedua, itu punca di sebalik kemenangan kami.
"Pada separuh masa perlawanan, saya ada memberitahu pemain untuk elakkan lawan melakukan serangan balas apabila kami dalam situasi set piece.
"Selain itu, saya juga ada menukar formasi pada permulaan separuh masa kedua untuk memberikan kestabilan di bahagian tengah supaya kami boleh menguasai permainan ke atas lawan," katanya.
Pada aksi tersebut anak buah Trucha memulakan pesta gol hasil tandukan Casagrande pada minit ke-37 diikuti jaringan peribadi kedua pada minit ke-52 sebelum sebelum Sheriddin Boboev melengkapkan malam pesta Black Panthers dengan gol pada minit ke-66.
Keputusan di Likas itu menyaksikan Penang FC kini mengumpul 34 mata manakala Sabah FC mengumpul 19 mata selepas masing-masing mengharungi 19 perlawanan liga.