PENGARAH Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Misbun Sidek tidak gusar dengan prestasi dalam kalangan pemain remaja negara berikutan kurangnya perlawanan kompetitif berikutan Covid-19.
Malah menurut Misbun, beberapa perancangan yang rapi telah dipersiapkan untuk memastikan keadaan pemain berada pada tahap optimum, selain sesi latihan tidak memfokuskan misi melakar kemenangan tetapi meningkatkan kemahiran asas serta mewujudkan suasana ceria dalam kem latihan.
"Walaupun mereka tidak menyertai mana-mana pertandingan sama ada dua bulan atau tiga bulan, pada saya tidak ada masalah. Modul yang harus kita berikan kepada mereka adalah membuatkan pemain-pemain gembira.
"Ketika mereka tidak menyertai pertandingan, saya menerapkan modul yang boleh bersaing secara antarabangsa.
"Kita tidak berlatih sesama sendiri hanya untuk menewaskan sesama sendiri tetapi bagaimana membuat sasaran yang mana para pemain ini memiliki kelebihan ke atas pemain luar negara,” katanya menerusi kenyataan.
Misbun berkata, pada kejohanan Ranking Dalaman Remaja kedua BAM yang membuka tirai hari ini, beliau tidak melihat pemain kekok atau beraksi di bawah prestasi sebenar dan ia jelas memberi perkhabaran yang positif.
Dalam aksi pembukaan itu, Justin Hoh merupakan antara pemain pilihan yang menepati ramalan untuk melakar kemenangan dalam kumpulan A perseorangan lelaki di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara di sini.
Justin, yang kecundang di set pertama sebelum berjaya bangkit menundukkan Chia Jeng Hon 11-21, 21-11, 21-13, berkata, walaupun tidak banyak latihan, beliau sedia memberikan 100 peratus apabila turun beraksi.
"Sudah tentu saya mahu kedudukan pertama tetapi saya juga berharap pemain-pemain lain dapat memberikan tentangan dan saingan sengit supaya kedudukan saling berubah,” katanya.
Mengikuti jejak Justin adalah Eogene Ewe Eon yang menundukkan V Poopathi 23-21, 21-18 sementara Ong Zhen Yi meraih kemenangan dengan menundukkan Muhd Fazriq Mohd Razif 21-15, 16-21, 21-19.
Keputusan
Perseorangan lelaki
Kumpulan A
----------------
Ong Zhen Yi mn Muhammad Fazriq 21-15, 16-21, 21-19
Eogene Ewe Eon mn V. Poopathi 23-21, 21-18
Justin Hoh mn Chia Jeng Hon 11-21, 21-11, 21-13
Kumpulan B
----------------
Rex Hooi Shao Herng mn Jan Jireh Lee 21-13, 10-21, 21-16
Anson Cheong mn Lok Hong Quan 21-19, 21-16
Muhammad Adam Shaz mn Dylan Ooi 14-21, 22-20, 21-13
Kumpulan C
-----------------
Aaron Tai mn Muhammad Faiq 22-24, 25-23, 23-21
Lee Yen Wei mn Kang Khai Xing (menang tanpa bertanding)
Kong Teck Joon mn Yeow Chun Cher 21-14, 21-23, 21-19
Perseorangan wanita
Kumpulan A
-----------------
Tan Zhing Yi mn Loh Zhi Wei 19-21, 21-14, 21-16
Ong Xin Yee mn Chan Wen Tse 23-21, 21-16
Siti Nurshuhaini Azman mn Joanne Ng May Yin 21-12, 21-19
Kumpulan B
-----------------
Siti Zulaikha Muhammad Azmi mn Oo Shan Zi 21-18, 25-23
Lim Yi Wei mn Lai Ting Cen 21-18, 21-12
Carmen Ting mn Adiyna Anuar 21-14, 21-15
Kumpulan C
-----------------
Tan Zhing Hui mn Ng Wen Xi 21-19, 21-15
Noraqilah Maisarah Ramdan mn Christine Lam 21-18, 24-22
Chong Jie Yu mn Yeap Phoi Lin 21-12, 21-7