KULIM - Polis merampas 393 mesin bitcoin di dua buah premis dengan anggaran kerugian RM840,000 ditanggung Tenaga Nasional Berhad (TNB) pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, serbuan pada jam 2 petang yang dilakukan dengan bantuan TNB Zon Utara mendapati terdapat penyambungan kabel elektrik secara haram bagi kecurian tenaga elektrik untuk aktiviti bitcoin.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam premis menemui sebanyak 393 mesin melombong mata wang digital bitcoin yang sedang beroperasi.
"Penyambungan kabel ini secara munasabah menunjukkan bahawa satu kesalahan telah dilakukan pada pemasangan kabel milik TNB di premis berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata, pemeriksaan lanjut dilakukan juruteknik dan pasukan penyiasat TNB mendapati premis tersebut mempunyai akaun didaftarkan atas nama seorang lelaki.
Katanya, difahamkan kegiatan itu telah dijalankan di premis terbabit sejak tujuh bulan lalu.
"Pihak TNB telah mengambil tindakan memutuskan penyambungan haram dan kesemua barang kes dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim untuk tindakan lanjut.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan 426 Kanun Keseksaan," katanya.