Pulau Pinang terima sumbangan RM1 juta untuk Tabung Covid-19

Iklan
Dana itu akan digunakan untuk memastikan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan pusat kemudahan lain dapat penjagaan kesihatan yang terbaik. Gambar hiasan.

GEORGETOWN - Tabung Covid-19 Pulau Pinang menerima rangsangan RM1 juta susulan rayuan baru-baru ini untuk memberi bantuan kepada Jabatan Kesihatan negeri memerangi virus itu.

Dufu Technology Corp Bhd, syarikat senaraian awam yang mempunyai kemudahan pembuatan sehenti canggih menyumbangkan RM500,000, manakala Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Lee Hui Ta turut menghulurkan sumbangan peribadi RM500,000 untuk tabung itu.

Iklan
Iklan

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, dana itu akan digunakan untuk memastikan pesakit Covid-19 yang dimasukkan ke hospital dan pusat kemudahan lain dapat penjagaan kesihatan yang terbaik.

Dalam majlis penyerahan cek contoh pada Selasa, Ketua Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada pelbagai warga korporat di negeri itu, badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan swasta dan pertubuhan berasaskan komuniti kerana memberi maklum balas dan bekerjasama dengan kerajaan negeri dan Jabatan Kesihatan negeri memerangi pandemik Covid-19 sejak Mac tahun lalu.

Iklan

"Bagi pihak kerajaan Pulau Pinang, saya juga ingin merakam setinggi-tinggi penghargaan kepada Dufu Technology dan Hui Ta atas sumbangan mereka. Wang ini akan disalurkan kepada Jabatan Kesihatan negeri dengan menyiapkan kelengkapan bagi meningkatkan kapasiti jabatan mengikut keperluan,” katanya.

Kon Yeow berkata, melalui usaha kerjasama, bantuan dapat diberikan kepada mereka yang terkesan dengan Covid-19 termasuk inisiatif terbaru mengubah Kompleks Masyarakat Penyayang sebagai pusat kuarantin dan rawatan Covid-19.

Iklan

"Saya gembira untuk mengumumkan pusat kuarantin dan rawatan itu kini dibuka dan telah menerima beberapa pesakit dua hari lalu,” tambah beliau. - Bernama