KPDNHEP akan pinda dua akta, bantu perniagaan

Iklan
Hasnol Zam Zam Ahmad

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan meminda Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 untuk memperkenalkan dasar baharu dalam situasi pandemik di samping menyokong usaha berterusan ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan perniagaan.

Ketua Setiausaha KPDNHEP merangkap Pengerusi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, dasar baharu itu boleh memperluas skop peruntukan mengenai Mekanisme Penyelamat Korporat.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, langkah itu juga akan menambah baik rangka kerja semasa berkaitan penstrukturan korporat serta insolvensi supaya rangka kerja undang-undang Malaysia bersifat timbal balik dengan amalan terbaik antarabangsa.

"Memandangkan kita terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan dalam menjalankan perniagaan, penting untuk melaksanakan tindakan yang tepat pada masanya bagi menambah baik rangka kerja insolvensi,” katanya semasa menyampaikan ucaptama pada perasmian Persidangan Kebangsaan SSM 2021 (SSMNC2021) secara maya pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata, sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mempercepat pemulihan ekonomi negara, terdapat keperluan untuk mempunyai rangka kerja undang-undang yang lebih komprehensif berkaitan dengan pemulihan entiti perniagaan bagi memastikan perniagaan kekal kompetitif.

Hasnol Zam Zam berkata, tanpa rangka kerja undang-undang yang komprehensif, entiti perniagaan seperti syarikat dan perkongsian liabiliti terhad berdepan risiko pembubaran apabila mereka menghadapi kesukaran kewangan walaupun perniagaan itu masih berdaya maju.

Iklan

"Pada masa ini, dua rang undang-undang pindaan Akta Syarikat 2016 dan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012 sedang diteliti semula sementara menunggu pemuktamadan oleh Jabatan Peguam Negara untuk pembentangan di Parlimen,” katanya.

Selain itu beliau berkata, jumlah syarikat yang dibubarkan oleh mahkamah juga berkurangan susulan inisiatif SSM meningkatkan nilai ambang atau nilai keberhutangan di bawah Seksyen 466 (1) (a) Akta Syarikat 2016 berkuat kuasa 1 April, 2021.

"Perangkaan menunjukkan pada 2019 sebelum pandemik, syarikat yang dibubarkan berjumlah 1,524 namun pada 2020 ia berkurangan kepada 1,029," katanya.

Katanya, pada 2021 sehingga Julai, jumlah syarikat yang dibubarkan adalah 316, susulan langkah yang diperkenalkan SSM telah memberi hasil positif dalam mengurangkan kesan kelembapan perniagaan akibat pandemik Covid-19.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Nor Azimah Abdul Aziz berkata, pada sesi pleno terakhir SSMNC2021 pada Selasa barisan ahli panel berpengalaman dan pakar dalam bidang masing-masing akan berkongsi ilmu dengan para peserta pada sesi ‘SSM Talks’.

"Isu-isu terkini yang melibatkan operasi, dasar dan perundangan akan dibincangkan dalam sesi ini selain pasukan kami juga akan berkongsi mengenai cadangan pindaan kepada ‘Skim Pengaturan’, insolvensi dan Mekanisme Penyelamat Korporat di bawah Akta Syarikat 2016,” katanya.

SMNC2021 mengetengahkan empat sesi pleno iaitu ‘Mentadbir Urus Dalam Normal Baharu’, ‘Bekerja menerusi Papan Jarak Jauh’, ‘Pelaporan Pemilikan Bermanfaat’ serta ‘Bicara SSM’.

Persidangan tahunan kali ini yang membawa tema ‘Mentadbir Urus Dalam Normal Baharu’ dianjurkan secara maya dengan dihadiri 2,000 peserta. - Bernama