ALOR SETAR - Satu daripada tiga loji rawatan air yang ditutup susulan fenomena kepala air di Gurun Jerai minggu lalu iaitu loji rawatan air Gurun beroperasi sepenuhnya pada Selasa.
Pada Khamis, operasi loji rawatan air di Merbok, Gurun dan Tupah ditutup buat sementara waktu berikutan fenomena tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Darul Aman (SADA), Mohd Suhaimi Mohd Jusoh berkata, loji rawatan air Gurun telah beroperasi 100 peratus dan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat.
"Loji rawatan air Tupah pula hanya beroperasi 50 peratus disebabkan kerja-kerja pembaikan muka sauk Nombor Dua yang tertimbus sedang dijalankan.
"Bagi loji rawatan air Merbok, operasi berhenti seketika berikutan kadar kekeruhan air mentah yang tinggi akibat hujan di atas bukit," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, usaha-usaha masih giat dijalankan bagi memastikan bekalan air dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada kerja pembaikan dan penyelenggaran semasa.
Menurut beliau, bantuan bekalan air melalui lori-lori tangki masih lagi digerakkan kepada pengguna yang terjejas.
Dalam perkembangan sama, katanya, kira-kira 6,000 pemilik akaun SADA di Yan, Pendang dan Kota Setar dijangka terjejas berikutan ganguan bekalan air bermula jam 10.30 pagi pada Selasa.
Gangguan luar jangka berkenaan, ujarnya susulan kerja-kerja pembaikan kecemasan kebocoran paip utama di Jalan Alor Pudak.
Katanya, pengguna di sekitar simpang Tobiar ke Kubur Panjang, Guar Kepayang, Pekan Tanah Merah ke Sekolah Islah, Pekan Pendang, Jelai, Tokai ke Simpang Empat dijangka terjejas.
"Antara kawasan lain terlibat adalah Simpang Empat ke Taman Desa Kamela, Jalan Titi Haji Idris, Tajar, Jalan Datuk Kumbar, Jalan Alor Mengkudu dan sekitarnya.
"Jangka masa gangguan bekalan air berkenaan adalah sehingga selesai kerja-kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air,"katanya.
SADA ujar beliau, memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi oleh semua pengguna terlibat.